Translate

Thursday, January 26, 2012

Rundingan gagal, pilih lembaga siasatan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Bapa kepada bayi kudung, Nur Amani Nasuha mahu satu lembaga siasatan bebas ditubuhkan bagi mencari penyelesaian punca anaknya itu yang terpaksa dipotong pergelangan kaki kanannya sewaktu mendapat rawatan di Hospital Taiping pada 1 Disember tahun lalu.

Mohd. Hasmadi, 30, berkata, ia selaras dengan jaminan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir sebelum ini mengenai penubuhan lembaga berkenaan bagi mengenal pasti punca kaki bayi malang itu terpaksa dipotong.

"Demi keadilan kepada anak saya, lembaga siasatan itu perlu ditubuhkan. Saya hargai penjelasan pengurusan Hospital Taiping hari ini (semalam) namun ia tidak cukup memuaskan hati kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan tertutup dengan pengurusan hospital itu di bilik mesyuarat hospital berkenaan di sini semalam.

Perjumpaan yang turut dihadiri ibu bayi itu, Umi Kalsum Baharuddin, 24, bertujuan menjelaskan insiden yang membawa kepada tindakan memotong kaki Nur Amani Nasuha.

Ia dipengerusikan oleh Pengarah Hospital Taiping, Dr. Mohd. Yassin Abdul Rahman.

Sepanjang pertemuan selama sejam setengah itu, Mohd. Yassin antara lain mempertahankan tindakan yang diambil pegawai perubatan bertugas kerana mengikut prosedur.

Katanya, tindakan memotong pergelangan kaki kanan Nur Amani Nasuha didakwa telah berjaya menyelamatkan nyawa bayi terbabit.

Tambahnya, siasatan mendapati saluran pembuluh darah utama pada kaki bayi itu telah dijangkiti kuman.

Menjawab persoalan Mohd. Hasmadi tentang kemungkinan kaki bayi dapat diselamatkan sekiranya tindakan segera diambil, beliau menjelaskan, tindakan memotong dahulu jari kaki berkenaan tidak semestinya berkesan.

Mohd. Yassin berkata, pihaknya mengesyaki jangkitan kuman berkenaan telah merebak melalui kulit atau alat bantuan pernafasan.

Pun begitu, beliau mengakui bilik Nur Amani Nasuha mempunyai kuman yang merosakkan saluran pembuluh darah kaki bayi itu.

"Sebab itu saya tidak berpuas hati dengan penjelasan pengarah  hospital  (Mohd. Yassin). Kenapa tidak pindahkan anak saya sedang mereka tahu kuman itu terdapat di dalam bilik rawatan tersebut," luah Mohd. Hasmadi.

No comments:

Post a Comment