Translate

Wednesday, January 4, 2012

Mayat hancur dirempuh treler

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SITIAWAN – Tujuh remaja maut termasuk dua beradik menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan beberapa anggota badan hancur apabila kenderaan pelbagai guna (MPV), Honda Stream yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan tong gas di Batu 6, Jalan Lekir-Sitiawan dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 malam itu menyebabkan Badrul Isa Sulaiman, 19; adiknya, Mohamad Hadi, 17, serta sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15, maut. Turut maut ialah tiga rakan sekampung mereka, Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dan Muhamad Shafik Redzuan Yusuf, 16.

Kesemua mereka mati dengan beberapa anggota badan mereka hancur di tempat kejadian.
Pemandu MPV terbabit, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, yang mengalami kecederaan parah di kepala pula meninggal dunia pada pukul 8.35 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi, Hospital Seri Manjung dekat sini.

Tiga lagi penumpang Honda Stream itu, Khairul Faiz Mohd. Noor, 17, dan dua rakan perempuan mereka pula cedera ringan.

Pemandu treler membawa muatan tong gas, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, cedera parah di kepala dan sedang dirawat di hospital sama.

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Supritendan Ismail Munajat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah Mohd. Hisam cuba memotong sebuah kereta Honda Civic yang berada di hadapannya dari arah kiri.
 "Bagaimanapun, ketika dia cuba memasuki semula laluan dari lorong kecemasan  secara terburu-buru telah menyebabkan MPV dipandunya memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh treler tersebut.

"Ekoran itu, Honda Stream berkenaan terpelanting sejauh kira-kira lima meter hingga merempuh sebuah gerai buah-buhan di tepi jalan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, treler yang dipandu Abdul Rashid pula terbabas sejauh hampir 50 meter sehingga melanggar dua gerai buah-buahan lain dan beberapa pokok kelapa sawit yang terletak di belakang premis berkenaan.

Pemandu Honda Civic yang dikenali sebagai Osman cedera ringan.

Menurut Ismail, sebahagian anggota badan seperti tangan, kaki dan perut keenam-enam mangsa hancur dan terpelanting ke atas jalan manakala Mohd. Hisam dan Abdul Rashid tersepit di dalam kenderaan masing-masing.

Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing setelah keluar bersiar-siar di bandar Lumut dan Teluk Batik manakala treler berkenaan mahu menghantar tong gas ke Pulau Pinang dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment