Translate

Wednesday, January 25, 2012

ADUN Sungat Rapat dicemuh kerana berita palsu agih angpau


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Gara-gara berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk  Hamidah  Osman (gambar) menjadi cemuhan segelintir penduduk Sungai Rapat di sini baru-baru ini.
Semuanya bermula kononnya  Hamidah  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat mahu memberi  angpau  RM100 kepada semua pengundi Cina di kawasannya baru-baru ini.

Khabar angin itu antara lain meminta semua pengundi Cina berkumpul di pekarangan pejabat Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Taman Desa Pakatan di sini untuk menuntut  angpau  berkenaan pada pukul 2 petang, Khamis lalu.

Akibatnya hampir 300 individu berketurunan Cina yang hadir terpaksa pulang dalam keadaan hampa beberapa jam selepas menyedari khabar angin itu sebenarnya palsu.

 Hamidah  berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan beliau dimarahi dan dituduh penipu oleh segelintir penduduk di DUN Rapat Setia.

"Saya tidak pernah menganjurkan program itu. Saya pun baru mengetahui kehadiran orang ramai di pejabat Rela Taman Desa Pakatan selepas mereka bersurai dan saya mohon maaf kepada yang terlibat.

"Saya percaya ia satu lagi perbuatan sabotaj cuba memburuk-burukkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Perak yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini," jelasnya kepada pemberita di sini semalam.

 Hamidah  ditemui ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Hotel Impiana di sini.

Berikutan kejadian itu,  Hamidah  membuat laporan polis di Balai Polis Gunung Rapat di sini pada Ahad lalu.

Sebelum ini, terdapat beberapa cubaan pihak tertentu cuba mensabotaj program anjuran kerajaan negeri termasuk membakar kain rentang di Bagan Serai dan simbahan cat di dewan yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir di Changkat Ibol, Bukit Gantang.

Terbaharu, wajah Zambry dan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli yang dipaparkan pada kain rentang jemputan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina berhampiran kediaman rasminya dikoyak selain penyebaran khidmat pesanan ringkas kononnya majlis tersebut telah dibatalkan pada saat-saat akhir.

No comments:

Post a Comment