Translate

Friday, January 27, 2012

RISDA sasar tingkat pendapatan peserta kepada RM2,500

 Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 GOPENG – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan untuk membantu meningkatkan pendapatan purata bulanan pekebun kecil getah di seluruh negara daripada RM2,000 kepada RM2,500 pada tahun ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sasaran tersebut akan menjadi agenda utama RISDA sepanjang tahun ini.

“Selain itu, RISDA menyasar untuk membayar dividen sebanyak RM300 juta kepada peserta pada tahun ini berbanding RM196 juta yang diberikan pada tahun lalu,” katanya selepas merasmikan Perhimpunan Pemaju Masyarakat RISDA (PMR) Peringkat Nasional di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) di sini semalam.

Dalam majlis yang turut dihadiri Ketua Pengarah RISDA, Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad itu, seramai 522 PMR seluruh negara menerima sijil penghargaan berikutan sumbangan mereka dalam menjayakan agenda agensi terbabit dalam membantu pekebun kecil pada tahun lalu.

Mohd. Shafie menjelaskan, peningkatan pendapatan bulanan dan dividen tahunan itu dijangka memberi manfaat kepada 1.5 juta pekebun kecil di seluruh negara.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan, kementeriannya telah memberi peruntukan sebanyak RM1.84 bilion kepada RISDA pada tahun ini.

"Sebanyak RM397 juta daripada bajet itu diperuntukkan untuk program penanaman semula pokok getah bagi tanah seluas hampir 50,000 hektar yang akan membabitkan antara 30,000 hingga 40,000 pekebun kecil di seluruh negara," katanya.

Sambutan Tahun Baru Cina tetap meriah

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Biarpun terdapat dakwaan cuba disabotaj, sambutan  Tahun   Baru   Cina  peringkat negeri di kediaman rasmi Menteri Besar  Perak  di sini pada Isnin lalu tetap meriah dengan kehadiran lebih 15,000 hadirin.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kemeriahan sambutan tersebut menggambarkan perpaduan penduduk berbilang kaum di negeri ini.

"Syukur kerana sambutan berlangsung meriah walaupun ada cubaan sabotaj seperti khabar angin kononnya majlis ini telah dibatalkan pada saat akhir dan beberapa kain rentang jemputan ke majlis ini dikoyak.

"Saya tak mahu tuduh sesiapa, lagipun sebelum ini pernah terjadi (poster dikoyak di Bagan Serai). Biarlah rakyat fikir sendiri permainan politik seperti ini," katanya kepada pemberita di sini.

Sambutan itu dimeriahkan dengan kehadiran pengunjung daripada pelbagai kaum dari seluruh pelosok  Perak .

Majlis turut diserikan dengan keberangkatan Sultan  Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Permaisuri Perak , Tuanku Bainun; Raja Muda  Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Selain disajikan pelbagai hidangan enak, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian, tarian naga dan singa serta wusyu daripada atlet negara, Lee Yang yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA ke-26 lalu.

Thursday, January 26, 2012

Pasukan drift Kolej Komuniti Pasir Salak beri saingan

 SAINGAN. Pasukan drift Kolej Komuniti Pasir Salak memberi saingan hebat pada pertandingan perlumbaan drift peringkat kebangsaan di Litar Datuk Sagor, Kampung Gajah, Perak baru-baru ini.

Pengurus pasukan, Muhammad Fairus Rus berkata, pasukan yang dinamakan Salak Explorer itu julung-julung kali menyertai pertandingan perlumbaan kereta yang merupakan sebahagian daripada program Belia 1Malaysia.

Beliau berkata, selain pemandu, modifikasi kenderaan juga dilakukan sendiri oleh pensyarah dan pelajar Automotif kolej komuniti itu.

"Walaupun tidak muncul sebagai juara, penyertaan pada pertandingan drift ini memberi pendedahan terbaik kepada pelajar bagi meminati sukan berkenaan," katanya.

Rundingan gagal, pilih lembaga siasatan

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Bapa kepada bayi kudung, Nur Amani Nasuha mahu satu lembaga siasatan bebas ditubuhkan bagi mencari penyelesaian punca anaknya itu yang terpaksa dipotong pergelangan kaki kanannya sewaktu mendapat rawatan di Hospital Taiping pada 1 Disember tahun lalu.

Mohd. Hasmadi, 30, berkata, ia selaras dengan jaminan Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir sebelum ini mengenai penubuhan lembaga berkenaan bagi mengenal pasti punca kaki bayi malang itu terpaksa dipotong.

"Demi keadilan kepada anak saya, lembaga siasatan itu perlu ditubuhkan. Saya hargai penjelasan pengurusan Hospital Taiping hari ini (semalam) namun ia tidak cukup memuaskan hati kami sekeluarga," katanya ketika ditemui selepas menghadiri perjumpaan tertutup dengan pengurusan hospital itu di bilik mesyuarat hospital berkenaan di sini semalam.

Perjumpaan yang turut dihadiri ibu bayi itu, Umi Kalsum Baharuddin, 24, bertujuan menjelaskan insiden yang membawa kepada tindakan memotong kaki Nur Amani Nasuha.

Ia dipengerusikan oleh Pengarah Hospital Taiping, Dr. Mohd. Yassin Abdul Rahman.

Sepanjang pertemuan selama sejam setengah itu, Mohd. Yassin antara lain mempertahankan tindakan yang diambil pegawai perubatan bertugas kerana mengikut prosedur.

Katanya, tindakan memotong pergelangan kaki kanan Nur Amani Nasuha didakwa telah berjaya menyelamatkan nyawa bayi terbabit.

Tambahnya, siasatan mendapati saluran pembuluh darah utama pada kaki bayi itu telah dijangkiti kuman.

Menjawab persoalan Mohd. Hasmadi tentang kemungkinan kaki bayi dapat diselamatkan sekiranya tindakan segera diambil, beliau menjelaskan, tindakan memotong dahulu jari kaki berkenaan tidak semestinya berkesan.

Mohd. Yassin berkata, pihaknya mengesyaki jangkitan kuman berkenaan telah merebak melalui kulit atau alat bantuan pernafasan.

Pun begitu, beliau mengakui bilik Nur Amani Nasuha mempunyai kuman yang merosakkan saluran pembuluh darah kaki bayi itu.

"Sebab itu saya tidak berpuas hati dengan penjelasan pengarah  hospital  (Mohd. Yassin). Kenapa tidak pindahkan anak saya sedang mereka tahu kuman itu terdapat di dalam bilik rawatan tersebut," luah Mohd. Hasmadi.

Wednesday, January 25, 2012

Hadiah rumah membolehkan impian lelaki sebatang kara jadi kenyataan

IPOH - Sambutan Tahun Baru Cina ini memberi makna besar kepada seorang lelaki yang hidup sebatang kara apabila dihadiahkan sebuah rumah oleh kerajaan negeri Perak.

 Chai   Wah   Leong , 55, mendapat berita gembira itu ketika menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir ke rumahnya di Ampang Baru di sini baru-baru ini.

Lantaran kemiskinan, dia selama ini menetap di rumah peninggalan keluarganya yang uzur dan hampir menyembah bumi sejak lebih 10 tahun lalu.

Hampir keseluruhan struktur rumah termasuk dinding dan bumbung sudah usang selain tidak dilengkapi kemudahan air dan elektrik.

Bagi meneruskan hidup,  Wah   Leong  yang masih bujang menggunakan perigi berhampiran rumahnya sebagai sumber air.

Dia yang berpendapatan kira-kira RM300 sebulan hasil penjualan ikan laga secara kecilan-kecilan mengakui tidak mampu membuat persiapan untuk menyambut Tahun Baru Cina kali ini.

"Saya terharu dan berterima kasih dengan kunjungan Menteri Besar. Tambah terkejut rumah uzur saya ini bukan diperbaiki tetapi dibina semula.

"Ini adalah hadiah Tahun Naga air yang amat bermakna buat saya," katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, Yayasan Bina Upaya (YBU) dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan membina rumah baharu itu dalam masa terdekat.

Rumah yang lengkap dengan kemudahan elektrik dan air itu dianggarkan bernilai RM36,000.

ADUN Sungat Rapat dicemuh kerana berita palsu agih angpau


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Gara-gara berita palsu yang disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab, Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk  Hamidah  Osman (gambar) menjadi cemuhan segelintir penduduk Sungai Rapat di sini baru-baru ini.
Semuanya bermula kononnya  Hamidah  yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat mahu memberi  angpau  RM100 kepada semua pengundi Cina di kawasannya baru-baru ini.

Khabar angin itu antara lain meminta semua pengundi Cina berkumpul di pekarangan pejabat Ikatan Relawan Rakyat (Rela) Taman Desa Pakatan di sini untuk menuntut  angpau  berkenaan pada pukul 2 petang, Khamis lalu.

Akibatnya hampir 300 individu berketurunan Cina yang hadir terpaksa pulang dalam keadaan hampa beberapa jam selepas menyedari khabar angin itu sebenarnya palsu.

 Hamidah  berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan beliau dimarahi dan dituduh penipu oleh segelintir penduduk di DUN Rapat Setia.

"Saya tidak pernah menganjurkan program itu. Saya pun baru mengetahui kehadiran orang ramai di pejabat Rela Taman Desa Pakatan selepas mereka bersurai dan saya mohon maaf kepada yang terlibat.

"Saya percaya ia satu lagi perbuatan sabotaj cuba memburuk-burukkan wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Perak yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini," jelasnya kepada pemberita di sini semalam.

 Hamidah  ditemui ketika menghadiri Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak di Hotel Impiana di sini.

Berikutan kejadian itu,  Hamidah  membuat laporan polis di Balai Polis Gunung Rapat di sini pada Ahad lalu.

Sebelum ini, terdapat beberapa cubaan pihak tertentu cuba mensabotaj program anjuran kerajaan negeri termasuk membakar kain rentang di Bagan Serai dan simbahan cat di dewan yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Dr. Zambry Abd. Kadir di Changkat Ibol, Bukit Gantang.

Terbaharu, wajah Zambry dan isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli yang dipaparkan pada kain rentang jemputan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina berhampiran kediaman rasminya dikoyak selain penyebaran khidmat pesanan ringkas kononnya majlis tersebut telah dibatalkan pada saat-saat akhir.

Tuesday, January 24, 2012

Salahkan doktor anak kudung


KUALA LUMPUR - Impian sepasang suami isteri untuk menimang cahaya mata yang sempurna sifatnya tidak kesampaian selepas kaki kanan bayi perempuan mereka terpaksa dipotong tiga minggu selepas dilahirkan awal bulan lalu.

Walaupun reda dengan apa yang berlaku, ibu bapa bayi itu, Mohd. Hasmadi Mohd. Nor, 30, dan Umi Kalsum Baharuddin, 24, tetap terkilan kerana mereka mendakwa kakitangan Hospital Taiping yang merawat anak sulung mereka itu, Nur Amani Nasuha lambat bertindak sehingga menyebabkan pergelangan kakinya terpaksa dipotong pada 1 Disember lalu.

Mohd. Hasmadi berkata, kakitangan hospital mendapati jari kaki kanan Nur Amani Nasuha telah dijangkiti kuman dan bertukar menjadi biru seawal 19 November lagi.

“Pihak hospital mengambil masa dua minggu untuk memantau apa yang berlaku sehingga semuanya sudah terlewat dan kaki anak kami terpaksa dipotong.

“Kalau mereka cepat bertindak mungkin jari anak saya sahaja yang dipotong dan bukan pergelangan kaki, hancur luluh hati kami dibuatnya,” kata Mohd. Hasmadi kepada Kosmo! ketika ditemui di rumahnya di Desa Aman Puri, Kepong di sini semalam.

Dia yang bekerja di kilang pemasangan kenderaan di sini memberitahu, Nur Amani Nasuha dilahirkan tidak cukup bulan pada 7 November tahun lalu di hospital itu dan ditempatkan di wad kerana masalah pernafasan.

“Saya lihat jururawat di situ mengambil sampel darah dan memberi suntikan antibiotik setiap hari di bahagian kaki kanan.

“Tapi pada 19 November, doktor memberitahu ibu jari serta dua jari lain kaki kanan anak saya bertukar biru akibat jangkitan kuman,” ceritanya.

Dia kecewa kerana tempoh pemantauan selama dua minggu itu telah menyebabkan kawasan jangkitan kuman merebak dari jari kepada sebahagian kaki Nur Amani Nasuha.

Apa yang mengejutkan lagi, katanya, doktor yang merawat anaknya memberitahu, kaki kanan Nur Amani Nasuha terpaksa dipotong pada 1 Disember kerana masalah jangkitan kuman itu sudah berlaku agak lama sewaktu mangsa dirawat di wad itu.

"Kalau dia (doktor) kata sebab duduk lama dalam wad kena jangkitan kuman, lebih baik anak saya dibawa balik sahaja dan duduk di rumah.

"Kami sepanjang masa berasa sedih mengenangkan nasib anak yang kini sudah menjadi OKU (Orang Kelainan Upaya)," katanya.

Mohd.  Hasmadi , mendakwa, selepas dibenarkan keluar wad pada 1 Januari lalu, pihaknya masih tidak mendapat penjelasan secara rasmi dari hospital manakala usahanya untuk mendapatkan surat pengesahan kelahiran Nur Amani Nasuha secara normal juga tidak dilayan.

Umi Kalsum yang menghidap kencing manis pula memberitahu, sejak dalam kandungan lagi bayinya itu sihat.

"Kalau selepas ini pihak hospital masih sambil lewa dan tidak memberi jawapan yang menyakinkan, kami tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," tegasnya.

Di Ipoh, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri membuka kertas siasatan berhubung kes yang menimpa Nur Amani Nasuha.

Beliau ketika dihubungi semalam menegaskan, dakwaan wujud kecuaian kakitangan hospital itu wajar dipandang serius.

"Saya akan arahkan Pengarah Kesihatan Negeri (Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher) siasat kebenaran dakwaan itu," tegasnya.

Ahmad Razin pula ketika dihubungi berjanji akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kes tersebut.

"Saya harap ibu bapa  bayi  itu tampil membuat aduan, selepas itu kami akan menyiasat sama ada punca kaki  bayi  itu dipotong akibat kecuaian hospital atau  bayi  itu memang ada masalah kesihatan lain," jelasnya.

Sunday, January 22, 2012

Tragedi maut tiga beranak

 Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

KUALA KANGSAR - Seorang anggota polis trafik yang selalu mengendalikan kes kemalangan maut semalam tergamam apabila mendapati tiga daripada enam ahli keluarganya mati serentak selepas kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler membawa muatan gelung plat besi semalam.

Kejadian pukul 1.15 pagi di Kilometer 253, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini mengakibatkan M. Letchumy, 77, anak perempuannya, A. Espury, 60, dan cucunya, R. Naren, 5, mati di tempat kejadian.

Pemandu kereta itu, Dr. S. Ambiggan, 26, dan dua penumpang lain, A. Maruthayee, 53, dan S. Veneswaran, 11, pula cedera parah di kepala dan beberapa anggota badan.

Ambiggan dan Veneswaran merupakan cucu Letchumy manakala Maruthayee ialah anak wanita warga emas itu.

Difahamkan, sebelum kejadian enam sekeluarga itu dalam perjalanan pulang ke Kampung Benggali, Butterworth, Pulau Pinang selepas menghadiri upacara perkahwinan A. Priyanayagi, 42, iaitu anak ketujuh Letchumy di Flat Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Anak bongsu Lectchumy, A. Maniveran, 40, yang merupakan anggota polis trafik berpangkat  Koperal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh memberitahu, kejadian itu berlaku selepas empat jam mereka meraikan perkahwinan Priyanayagi.

Katanya, dia yang sampai dulu dengan menaiki kenderaan lain terus bergegas ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumahnya sebaik dimaklumkan.

"Sebaik sampai, sayu hati saya melihat mayat ibu, kakak dan anak saudara saya masih tersepit di dalam kereta.

"Saya biasa mengendalikan kes ke malangan maut namun menyaksikan ahli keluarga sendiri  menjadi mangsa amat menyayat hati,” luahnya ketika ditemui di sini semalam.

Tambahnya, semasa di Sungai Besi, Ambiggan  yang merupakan seorang doktor di Hospital Kangsar, Perlis telah mengadu kereta Proton Perdananya berbau busuk yang aneh tetapi gagal mengesan dari mana puncanya.

Menurut Maniveran, walaupun sangsi tetapi dia menasihatkan anak saudaranya itu supaya memandu dengan cermat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supri tendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, siasatan awal, kejadian berlaku mungkin disebabkan Ambiggan tidak perasan kehadiran treler di hadapannya kerana ketika itu hujan lebat dan jalan licin.

Ambiggan, Maruthayee dan Veneswaran kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Tai ping dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta  Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian dengan memandu melulu.

Dua lelaki dituduh bantu sembunyi wang hasil penipuan RM346,000

IPOH - Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas tuduhan membantu menyembunyikan wang yang diperoleh daripada kegiatan sindiket penipuan yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara.

 Lim   Mock   Huat , 37, dan Tommy Ng Kok Chun, 25, dituduh terlibat menyembunyikan wang berjumlah RM346,000 yang telah dimasukkan oleh seorang mangsa sindiket itu ke dalam sebuah akaun bank Public Bank di sini pada 28 Disember lalu.

Berdasarkan fakta kes, mangsa telah dihubungi oleh seorang individu yang tidak dikenali pada 28 November dan mendakwa dirinya pegawai Bank Negara.

Dia mendakwa boleh menyelesaikan masalah yang dihadapi mangsa dengan bank tertentu sekiranya mangsa memasukkan wang berjumlah RM346,000 ke dalam sebuah akaun bank.

Mangsa yang mempercayai kata-kata individu tersebut telah memasukkan wang berkenaan di Public Bank di sini pada pukul 4.14 petang hari berkenaan.

Bagaimanapun, mangsa yang menyedari ditipu telah membuat laporan polis dan ia membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh di Skudai, Johor Bahru pada 29 November.

Mereka ditangkap selepas kamera litar tertutup di mesin pengeluaran wang automatik Public Bank cawangan Johor Bahru merakam imej mereka mengeluarkan wang melalui nombor akaun bank berkenaan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan.

Majistret Haslina A. Raof kemudian membenarkan kedua-duanya dibebaskan dengan wang jaminan masing-masing berjumlah RM9,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan sebutan semula kes pada 15 Februari depan.

Wednesday, January 11, 2012

Tahanan reman suspek kes bunuh dilanjut

IPOH - Perintah reman suspek kes bunuh J.S. Indeer Kaur,  23, yang ditemui dalam gulungan tilam dalam belukar  berhampiran Perkampungan Orang Asli Juang, Simpang  Pulai dekat sini pada 2 Januari lalu dilanjutkan selama  seminggu lagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman  Alias berkata, lanjutan tahanan reman itu terhadap lelaki  berusia 49 tahun itu diperolehi di Mahkamah Majistret di sini  pada pukul 9 pagi semalam.

”Setakat ini lelaki itu merupakan satu-satunya suspek  dalam kes pembunuhan yang dipercayai bermotifkan cem buru itu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Kosmo! 5 Januari lalu melaporkan seorang lelaki yang juga  kekasih Indeer Kaur ditahan dirumahnya di Taman La pangan Lagenda di sini pada pukul 5.30 petang 4 Januari lalu  bagi membantu siasatan pembunuhan wanita itu.

Polis turut menemui sebilah parang, sepasang gari, dua  buah telefon bimbit, sebuah decorder, dua buah telefon  bimbit, sepasang gari, satu gelung getah, sebilah gunting dan  sebuah kereta jenis BMW di rumah suspek.

Pelajar USM berbakti di Rumah Seri Kenangan


PRIHATIN. Universiti Sains Malaysia (USM) menganjurkan program kemasyarakatan di Rumah Seri Kenangan Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak baru-baru ini.

Pengarah projek, Nur Hafizatul Husni Md. Rafi berkata, aktiviti kemasyarakatan di bawah program Rancangan Khidmat Masyarakat itu melibatkan 36 pelajar institusi pengajian tinggi awam dari pelbagai jurusan.

Menurutnya, selain beramah-mesra, peserta Rancangan Khidmat Masyarakat tersebut turut bergotong-royong menceriakan lagi persekitaran rumah penjagaan orang-orang tua terbabit.

"Program kemasyarakatan ini bukan sahaja menginsafkan kami sebagai golongan muda malah mampu meningkatkan sahsiah dan kemahiran berinteraksi dengan masyarakat luar," katanya.

Sunday, January 8, 2012

Lelaki terminum racun rumpai kini makin kritikal

TELUK INTAN - Abdul Wahab, 59, lelaki yang terminum racun rumpai dipercayai dorongan bisikan misteri pada Rabu lalu dilaporkan kini semakin kritikal di Unit Rawatan Rapi, Hospital Teluk Intan di sini semalam.

Isterinya, Zaleha Anuari, 48, berkata, doktor yang merawat suaminya mengesahkan Abdul kini sudah berada pada tahap 95 peratus dalam keadaan koma.

"Jika sebelum ini suami saya boleh menggerakkan sedikit jari tangan apabila kami sekeluarga cuba berkomunikasi dengannya, namun sejak malam semalam (kelmarin) tidak lagi.

"Keadaan ini membuatkan kami sekeluarga pasrah menghadapi apa juga kemungkinan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan, Abdul koma akibat terminum racun rumpai selepas mengalami kemurungan kesan daripada bisikan misteri yang sering mengingatkannya mengenai kematian.

Lelaki itu dikatakan terminum racun tersebut di rumahnya di Parit Lima, Cenderong Balai dekat sini pada pukul 5.30 petang 4 Januari lalu.

Friday, January 6, 2012

Perak akan wujudkan akademi bolasepak sendiri

PERAK akan menubuhkan sebuah akademi bola sepak bagi mempertingkatkan lagi pembangunan pemain pelapis negeri itu dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) telah diberi tanggungjawab untuk menguruskan akademi bola sepak berkenaan yang dijangka beroperasi selewat-lewatnya akhir tahun ini.

"Syarikat bijih besi dari Brazil, Vale International yang turut beroperasi di Lumut telah memberi 'lampu hijau' untuk sama-sama membantu Pafa.

"Penubuhan akademi terbabit merupakan perancangan jangka panjang bagi pembangunan bola sepak Perak dalam mengembalikan kegemilangan skuad negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis memperkenal pemain, penaja dan jersi baru skuad Perak serta pas bermusim bagi musim baharu 2012 di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini semalam.

Turut hadir Presiden Pafa, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, pengurus dan ketua jurulatih Perak iaitu Khairul Azwan Harun dan Norizan Bakar.

Sehubungan itu, Pafa akan menjelajah di semua daerah di negeri tersebut untuk mencungkil bakat-bakat baharu berpotensi untuk diserapkan ke akademi bola sepak tersebut tidak lama lagi.

Difahamkan, akademi bola sepak terbabit akan dibina di tanah milik Pafa di Jelapang, Ipoh.

Dalam perkembangan sama, Zambry menegaskan, kerajaan negeri Perak sentiasa prihatin untuk membantu Pafa meningkatkan mutu skuad Seladang.

"Bola sepak adalah sukan yang sangat penting kerana ia simbol penyatuan dan maruah rakyat negeri ini," katanya.

Thursday, January 5, 2012

Mayat wanita dalam tilam

IPOH - Penduduk Perkampungan Orang Asli Juang, Simpang Pulai dekat sini gempar dengan penemuan mayat seorang wanita digulung dengan tilam semalam.

Mayat wanita yang sudah berulat di kepalanya itu ditemui di kawasan belukar berhampiran perkampungan Orang Asli itu pada pukul 2.30 petang.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, seorang lelaki Orang Asli terserempak dengan mayat terbabit semasa sedang mencari burung.

"Pemeriksaan awal polis mendapati mangsa dianggarkan berusia awal 30-an. Namun tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui di sisi mangsa," katanya kepada Kosmo!.

Azisman berkata, keadaan kepala mangsa yang sudah berulat hingga menampakkan tenggorak menyukarkan polis mengenal pasti identitinya.

Menurut beliau, polis percaya mangsa telah dibunuh di lokasi lain lebih 48 jam lalu sebelum dicampakkan ke lokasi berkenaan.

Mayat itu telah dibawa ke Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk dibedah siasat.

Orang ramai yang kehilangan saudara-mara dan kenalan diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan.


Enggan beli baju sekolah petanda ajal anak lelaki tunggal

SERI MANJUNG - Kelakuan ganjil seorang remaja yang enggan dibelikan pakaian seragam sekolah baharu rupa-rupanya menjadi petanda awal yang dia akan meninggalkan dunia ini buat selama-lamanya.

Perkara itu diceritakan oleh Yusuf Said, 46, bapa Muhamad Shafik Redzuan, 16, iaitu salah seorang daripada tujuh remaja yang maut dalam kemalangan ngeri di Batu 6, Jalan Lekir-Sitiawan dekat sini kelmarin.

Menurut Yusuf, dia pelik apabila anak lelaki sulung dan tunggalnya itu menolak untuk dibelikan pakaian seragam baharu sebagai persiapan menjelang sesi persekolahan yang akan bermula Rabu ini.

Sebaliknya, kata Yusuf, arwah lebih beriya-iya untuk memakai baju, seluar, stoking dan kasut sekolah lama yang dipakai ketika menuntut di tingkatan empat.

Muhammad Shafik merupakan anak sulung dari dua beradik dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu 10, Lekir.

"Saya pelik juga dengan perangainya tetapi tidak pula perasan ia rupa-rupanya petanda awal ajalnya hampir tiba. Saya sempat juga membelikan dia buku-buku sebagai persiapan melangkah ke tingkatan lima,"ceritanya ketika ditemui di Hospital Seri Manjung di sini semalam.

Sementara itu, Sulaiman Din, 42, merupakan orang yang paling sedih berikutan kejaidan itu apabila dia kehilangan empat insan yang sangat disayanginya sekali gis iaitu dua anak, seorang anak saudara dan seorang anak angkat.

Sulaiman memberitahu, selain anaknya, Badrul Isa, 19 dan Mohamad Hadi, 17; dan anak saudaranya, Mohamad Shadan Mohd. Arshad, anak angkatnya, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, sudah dianggap sebahagian daripada keluarga.

"Saya hilang kedua-dua anak lelaki yang saya saya kerana tiga adik mereka semuanya perempuan. Mohd. Hisam pula yang sudah tinggal bersama saya sejak lima bulan lalu dan kami sudah anggap dia seperti anak sendiri,"ceritanya sedih.

Mohd. Hisam dari Jeli, Kelantan menumpang di rumah Sulaiman sejak mendapat kerja di sebuah syarikat perkapalan di Pelabuhan Lumut dekat sini pada Ogos lalu.

Selain Muhamad Shafik Redzuan, Badrul Isa, Mohamad Hadi, Mohamad Shadan dan Mohd. Hisam, dua lagi rakan sekampung mereka, Mohamad Kamil, 15 dan Ahmad Faizal, 15, turut terkorban dalam kemalangan ngeri tersebut.

Semua mangsa kecuali Mohd. Hisam dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Lekir selepas solat Asar semalam.

Mayat Mohd. Hisam pula telah dituntut ahli keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Mekong, Jeli.

Kesemua mangsa menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Honda Stream dipandu Mohd. Hisam.

MPV yang merempuh sebuah treler membawa muatan tong gas itu milik Mat Zaki Abdul Rahman, 58, iaitu bapa Mohd. Hisam.

Cebisan otak terpercik di gerai

 SITIAWAN - "Kemalangan itu sangat mengerikan dan saya masih trauma dan hampir termuntah apabila mendapati sebahagian tubuh dan anggota badan mayat mangsa kemalangan bergelimpangan dan sudah hancur di atas jalan."

Kata-kata itu jelas menggambarkan betapa kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Batu 6, Jalan Lekir-Sitiawan dekat isni yang mengakibatkan tujuh nyawa termasuk dua beradik melayang sangat tragis untuk ditonton atau dikenang.

Kemalangan itu berlaku kira-kira satu setengah jam sebelum detik 12 tengah malam 1 Januari 2012 menjelma kelmarin.

Pemilik gerai buah-buahan, Alice Tan, 55, berkata, dia yang bergegas ke tempat kejadian sebaik mendengar bunyi detuman kuat akibat pelanggaran terbabit terkejut menyaksikan enam mayat mangsa bergelimpangan di atas jalan.

Katanya, bunyi itu begitu kuat sehingga dia yang dalam perjalanan ke gerainya dari sebuah pasar raya besar di Seri Manjung yang terletak kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian boleh mendengarnya.

"Salah seorang pekerja saya kemudian menghubungi saya memaklumkan sebahagian gerai buah-buahan saya sudah rosak akibat dirempuh kenderaan yang terlibat dalam kemalangan itu,"ceritanya kepada Kosmo! semalam.

Tambahnya, sebaik tiba, dia hampir tidak percaya dan hampir termuntah dengan paa yang dilihatnya apabila mendapati keadaan mayat yang sebahagian tubuh mereka sudah hancur di atas jalan dekat gerainya.

Menurut Alice, apa yang membuatnya lebih trauma ialah apabila dia mendapati sebahagian serpihan anggota badan dan organ mangsa kemalangan terbabit seperti otak, isi perut, tangan, kaki dan mata turut terpercik di dalam gerainya.

"Saya masih terkenang-kenang serpihan orang dan anggota badan itu kerana ia hanya dikutip anggota polis pda pukul 7 pagi tadi (semalam). Gerai saya masih berbau hanyir biarpun sudah dibersihkan berulang kali," katanya lagi.

Ujar Alice, walaupun sebahagian gerainya rosak, namun dia bernasib baik kerana kejadian itu berlaku di luar waktu perniagaan.

"Jika tidak, mungkin malapetaka lebih besar akan berlaku kerana sebahagian besar gerai buah-buahan termasuk milik saya di sini sering menjadi tumpuan pelanggan," katanya.

Wednesday, January 4, 2012

Info Mangsa kemalangan maut Batu 6, Jalan Lekir-Sitiawan

Meninggal dunia

1) Mohd. Hisam Mat Zaki, 22 (pemandu Honda Stream)
2) Badrul Isa Sulaiman, 19
3) Mohamad Hadi Sulaiman,17
4) Mohamad Kamil Samsuri, 15
5)Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15
6) Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15
7)Muhamad Shafik Redzuan Yusuf, 16

Cedera parah

1) Abdul Rashid Abdul Aziz, 49 (pemandu treler)

Cedera ringan

1)Khairul Faiz Mohd. Noor, 17 (penumpang Honda Stream)
2) Osman (pemandu Honda Civic)

Mayat hancur dirempuh treler

 Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SITIAWAN – Tujuh remaja maut termasuk dua beradik menemui ajal dalam keadaan mengerikan selepas mayat mereka ditemui dalam keadaan beberapa anggota badan hancur apabila kenderaan pelbagai guna (MPV), Honda Stream yang dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan tong gas di Batu 6, Jalan Lekir-Sitiawan dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 10.30 malam itu menyebabkan Badrul Isa Sulaiman, 19; adiknya, Mohamad Hadi, 17, serta sepupu mereka, Mohamad Shadan Mohd. Arshad, 15, maut. Turut maut ialah tiga rakan sekampung mereka, Mohamad Kamil Samsuri, 15, Ahmad Faizal Mohd. Termizi, 15, dan Muhamad Shafik Redzuan Yusuf, 16.

Kesemua mereka mati dengan beberapa anggota badan mereka hancur di tempat kejadian.
Pemandu MPV terbabit, Mohd. Hisam Mat Zaki, 22, yang mengalami kecederaan parah di kepala pula meninggal dunia pada pukul 8.35 pagi semalam di Unit Rawatan Rapi, Hospital Seri Manjung dekat sini.

Tiga lagi penumpang Honda Stream itu, Khairul Faiz Mohd. Noor, 17, dan dua rakan perempuan mereka pula cedera ringan.

Pemandu treler membawa muatan tong gas, Abdul Rashid Abdul Aziz, 49, cedera parah di kepala dan sedang dirawat di hospital sama.

Ketua Trafik Daerah Manjung, Asisten Supritendan Ismail Munajat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku setelah Mohd. Hisam cuba memotong sebuah kereta Honda Civic yang berada di hadapannya dari arah kiri.
 "Bagaimanapun, ketika dia cuba memasuki semula laluan dari lorong kecemasan  secara terburu-buru telah menyebabkan MPV dipandunya memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh treler tersebut.

"Ekoran itu, Honda Stream berkenaan terpelanting sejauh kira-kira lima meter hingga merempuh sebuah gerai buah-buhan di tepi jalan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Tambahnya, treler yang dipandu Abdul Rashid pula terbabas sejauh hampir 50 meter sehingga melanggar dua gerai buah-buahan lain dan beberapa pokok kelapa sawit yang terletak di belakang premis berkenaan.

Pemandu Honda Civic yang dikenali sebagai Osman cedera ringan.

Menurut Ismail, sebahagian anggota badan seperti tangan, kaki dan perut keenam-enam mangsa hancur dan terpelanting ke atas jalan manakala Mohd. Hisam dan Abdul Rashid tersepit di dalam kenderaan masing-masing.

Difahamkan, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing setelah keluar bersiar-siar di bandar Lumut dan Teluk Batik manakala treler berkenaan mahu menghantar tong gas ke Pulau Pinang dari Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mayat mangsa lemas berpelukan


 GERIK – Mayat tiga kanak-kanak termasuk dua beradik yang hanyut selepas sampan mereka terbalik di Sungai Perak berhampiran Kuala Kenderong dekat sini pada Khamis lalu dijumpai awal pagi semalam.

Mayat Muhammad Amir Fadlillah Ruzai, 11, dan adiknya, Muhammad Adham Hamiz, 8, ditemui terapung kira-kira 30 kilometer (km) dari lokasi kejadian pada kira-kira pukul 3 pagi.

Agak mengharukan apabila mayat mereka ditemui dalam keadaan berpelukan oleh seorang penduduk kampung yang sedang memeriksa pukatnya di tebing Sungai Perak berhampiran Titi Air Ganda dekat sini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik berkata, mayat Mohd. Saiful Haikal Dahari, 7, pula ditemui oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat pada pukul 9 pagi.

“Mayat tersebut dijumpai di kawasan Tasik Chenderoh iaitu kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa pertama dan kedua ditemui,” katanya di sini semalam.

Jenazah tiga kanak-kanak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Kampung Padang di sini selepas solat Zuhur.

Kosmo! semalam melaporkan tiga kanak-kanak tersebut hilang selepas menaiki sampan milik bapa saudara mereka di Sungai Perak pada pukul 12 tengah hari Khamis lalu.

Tiga budak dikhuatiri lemas

GERIK - Tiga kanak-kanak termasuk dua beradik dikhuatiri lemas setelah sampan yang mereka naiki terbalik di Sungai Perak berhampiran Kuala Kenderong dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 12 tengah hari itu mengakibatkan Muhammad Amir Fadlillah Ruzai, 11; adiknya, Muhammad Adham Hamiz, 8 serta sepupu mereka, Mohd. Saiful Haikal Dahari, 7, dari Bukit Marikan dekat sini hilang dihanyutkan arus.

Abang Mohd. Saiful Haikal, Mohd. Adzanizam, 25, berkata, sebelum hilang, tiga kanak-kanak oitu menyanyi lagu Rabbani, Pergi Tak Kembali di dalam rumah dengan suara nyaring sebelum dia menegur kelakuan mereka kerana membuat bising.

Katanya, mereka kemudiannya terdiam sebelum keluar bersama-sama.

"Saya tidak tahu mereka menaiki sampan milik bapa saudara yang telah lama tersadai di tebing Sungai Perak sehinggalah dimaklumkan oleh seorang penduduk.

"Sampani itu rosak dan selepas mereka tidak pulang-pulang, saya membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang semalam (kelmarin)," ceritanya kepada Kosmo!.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik berkata, ketiga-tiga mangsa masih belum ditemui tetapi sampan yang dinaiki dijumpai kira-kira 1.5 kilometer dar jeti Kampung Bukit Marikan dekat sini pada pukul 10.30 pagi semalam.

Katanya, operasi bersepadu bersama beberapa anggota keselamatan diteruskan sehingga kanak-kanak terbabit ditemui.