Translate

Thursday, December 8, 2011

Lelaki dituduh tipu surat wasiat


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Seorang pengusaha ladang limau bali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan memalsukan surat wasiat bagi membolot harta pusaka mendiang bapanya yang bernilai jutaan ringgit.

Wong Chee Seong, 53, yang merupakan anak keenam daripada sembilan beradik dituduh melakukan perbuatan itu pada 2005.

Berikutan wasiat yang didakwa Chee Seong dibuat sebelum bapanya meninggal dunia mencetuskan pertikaian keluarga dan menyebabkan kes itu kemudian dibawa ke Mahkamah Tinggi di sini dua tahun lalu.

Salah seorang adik tertuduh pada bulan lalu membuat laporan polis selepas mengesyaki sesuatu mencurigakan berhubung surat wasiat peninggalan bapa mereka.

Siasatan polis kemudian membawa kepada penemuan bukti penipuan dalam penulisan surat wasiat terbabit menyebabkan Chee Seong ditahan di rumahnya di Kampung Baru Ampang Baru kelmarin.

Dalam pertuduhan pertama, Chee Seong didakwa memalsukan dokumen berupa wasiat bagi membolehkan wang simpanan mendiang bapanya berjumlah RM83,018.61 yang disimpan dalam akaun tetap di sebuah bank di Jalan Yang Kalsom di sini dipindah milik kepadanya pada 13 September 2005.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa meminda wasiat berkenaan di sebuah pejabat peguam di Jalan Tun Sambathan di sini bagi memiliki tiga lot tanah mendiang bapanya di Ulu Kinta dekat sini pada hari sama.

Dalam kedua-dua pertuduhan, Chee Seong yang turut mengusahakan kolam ikan dan ternakan ayam di sekitar Tambun dan Ulu Kinta dituduh di bawah Seksyen 467 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Jika sabit kesalahan, Chee Seong yang diwakili peguam bela, M. Kulasegaran boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda.

Bagaimanapun, Chee Seong yang kelihatan tenang di dalam kandang tertuduh membuat pengakuan tidak bersalah sebaik kedua-dua pertuduhan itu diterjemahkan dalam bahasa Mandarin.

Hakim Julie Leck Abdullah membenarkan Chee Seong dibebaskan dengan jaminan berjumlah RM16,000 dan seorang penjamin serta memutuskan sebutan semula kes terbabit pada 9 Januari depan.

Beberapa sanak saudara termasuk sebahagian daripada adik-beradik tertuduh turut kelihatan untuk menghadiri sebutan kes tersebut.

No comments:

Post a Comment