Translate

Tuesday, December 6, 2011

Cemburu punca 1,200 terkandas

 Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

 IPOH – Siasatan polis terhadap kes panggilan bom palsu hingga menyusahkan 1,200 pengguna kereta api dari Tapah Road ke Tanjung Malim Khamis lalu hampir terungkai dengan tertangkapnya seorang lelaki yang disyaki berbuat demikian semata-mata hendak menghalang kekasihnya pergi ke Kuala Lumpur.


Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada pukul 6.10 petang di Teluk Intan Sabtu lalu selepas polis mengenal pasti identitinya. Suspek yang merupakan jurujual di sebuah syarikat jualan langsung membuat panggilan dengan telefon bimbit.

Suspek berbuat demikian untuk menghalang kekasihnya yang juga bekerja di situ untuk pergi berkursus di Kuala Lumpur. Difahamkan, dia cemburu kerana bimbang jika kekasihnya terpaut hati terhadap seorang rakan sekerja mereka yang turut mengikuti kursus itu.

Pasangan itu juga dikatakan sering bergaduh tetapi berbaik semula selepas keadaan reda.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, siasatan awal mendapati suspek tiada niat lain selain hendak menghalang niat kekasihnya yang berusia 25 tahun mengikuti kursus di ibu negara pada hari kejadian.

"Suspek yang tidak sedap hati dan berang dengan kedegilan kekasihnya itu bertindak nekad dengan membuat panggilan palsu bagi menghalang perjalanan kekasihnya yang menggunakan perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) ke Kuala Lumpur pada pagi 1 Disember lalu," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, perbuatan tidak bertanggungjawab suspek bukan sahaja menyebabkan perjalanan kekasihnya tersangkut di Tapah Road malah turut menyusahkan lebih 1,200 penumpang lain.

Menurut Mohd. Shukri, suspek kini direman selama lima hari sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu membuat ugutan jenayah. Sabit kesalahan dia boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda.

"Saya harap kes ini menjadi pengajaran agar tiada sesiapa lagi sewenang-wenangnya membuat panggilan palsu untuk kepentingan diri atau menyelesaikan masalah peribadi," tegasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri turut mengesahkan penemuan sekeping tikar yang dilipat bersama beberapa botol plastik kosong yang diletupkan berhampiran sebuah jambatan di landasan kereta api di Kilometer 259.25 berhampiran Slim River pada hari berkenaan tiada kaitan dengan suspek.

Jumaat lalu, Kosmo! melaporkan, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) terjejas teruk dan tergendala lebih 10 jam selepas menerima panggilan yang mengatakan terdapat bom di sepanjang 76 kilometer laluan kereta api dari Tapah Road ke Tanjung Malim.

Polis kemudian terpaksa membuat pemeriksaan teliti di 21 buah jambatan di sepanjang laluan kereta api tersebut tetapi tiada sebarang bom ditemui.

Penumpang yang terkandas kemudian meneruskan perjalanan dengan menaiki 11 buah bas yang disediakan KTMB.

No comments:

Post a Comment