Translate

Wednesday, December 7, 2011

As-Siddiq tarik pelesit rempit ubah sahsiah

IPOH - Kelab Permotoran Pro Rider (KPPR) yang ditubuhkan oleh Pertubuhan As-Siddiq mampu menangani masalah pelesit rempit jika taraf hidup golongan itu ditingkatkan.

Pengerusi As-Siddiq, Habidi Zain berkata, melalui KPPR, pihaknya akan memastikan sahsiah golongan ini akan berubah kepada positif secara beransur-ansur.

"Objektif penubuhan KPPR adalah untuk menggalakkan golongan itu berlumba motosikal secara sihat di samping membantu mereka meningkatkan taraf pendidikan dan kerjaya.''

"Ahli kelab berpeluang belajar bidang kemahiran yang diminati secara sambilan atau sepenuh masa di Kolej Seri Manjung (KSM) dan kami menyediakan litar khas untuk mereka berlumba pada hujung minggu," katanya selepas merasmikan Kejohanan Cabaran Pecutan Pro Rider di Seri Iskandar di sini semalam.

Habidi berkata, ahli KPPR akan memulakan kursus kemahiran seperti permotoran, automobil, maritim dan cari gali gas dan minyak di KSM mulai sesi pengajian Januari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif KSM berkata, pihaknya juga telah mencari majikan dalam industri maritim, cari gali gas dan minyak serta automobil untuk menaja pengajian ahli KPPR di KSM.

"Saya percaya jika taraf hidup mereka ditingkatkan dan pada masa sama hobi mereka berlumba di hala ke jalan betul, sahsiah mereka akan berubah kepada positif.

"Setakat ini, KPPR telah mengumpulkan hampir 3,000 pelesit rempit dari seluruh Perak sejak ia ditubuhkan pada September lalu. insya-Allah kelab ini akan dikembangkan di seluruh negara pada masa terdekat," katanya.

Pertubuhan As-Siddiq merupakan sebuah organisasi kebajikan yang memainkan peranan aktif dalam membantu golongan memerlukan di sekitar Perak sejak enam tahun lalu.

No comments:

Post a Comment