Translate

Wednesday, November 16, 2011

Mara Perak bimbing 50 usahawan muda

 IPOH - Karnival Usahawan Muda Perak berjaya mencapai objektifnya untuk mencari usahawan-usahawan baharu khususnya daripada golongan belia untuk dibimbing agar lebih berjaya dalam bidang perniagaan industri kecil dan sederhana.

Pengarah MARA Perak, Rusnah Yusoff berkata, sempena karnival yang berlangsung selama tiga hari sehingga semalam, seramai 100 belia dari seluruh negeri ini telah mendaftar untuk program kempen Pencarian Usahawan Muda Perak.

Menurutnya, selepas pemilihan dibuat, sebanyak 50 peserta telah berjaya dipilih dan ia dibuat berdasarkan kepada kecenderungan, potensi dan kesungguhan mereka yang benar-benar layak menyertai program berkenaan.

“Calon yang terpilih akan menghadiri kursus untuk Program Usahawan Muda MARA selama 10 hari merangkumi bimbingan berhubungan penyediaan kertas kerja, perakaunan, pengurusan, jaringan niaga dan aspek pemasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian penutup Karnival Usahawan Muda Perak yang disempurnakan oleh Ahli Majlis Bandaraya Ipoh, Syamsul Baharin Ahmad Shibi di Bazar D’Mara di sini semalam.

Jelas Rusnah, pihaknya juga akan menawarkan pembiayaan perniagaan sehingga RM250,000 kepada mana-mana calon usahawan tersebut yang berpotensi.

Terang beliau, lima syarikat yang terdiri daripada Intergrated Electrical & Electronic Sdn. Bhd. (IEE), Akademi Iyanis Green Beauty, Dpor Rue Sdn. Bhd dan Celcom Axiata Berhad telah dipilih sebagai mentor kepada usahawan muda tersebut.

No comments:

Post a Comment