Translate

Wednesday, November 23, 2011

Keluarga tragedi Kuala Dipang terima ex-gratia



 IPOH - Bapa kepada tiga pelajar yang terkorban dalam tragedi jambatan gantung runtuh di Pusat Kokurikulum Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Dipang di Kampar dua tahun lalu menerima pembayaran ex-gratia daripada kerajaan semalam.


K. Mageswaran, K. Vasudevan dan T. Nathan yang merupakan bapa kepada mendiang Devatharshi, 11; DiVyashree, 12; dan Dina Deve, 11, menerima ex-gratia yang tidak dinyatakan jumlah sebagai penyelesaian tuntutan saman yang dikemukakan mereka pada 20 November 2009.

Peguam ketiga-tiga plantif, A. Sivanesan memberitahu, kata sepakat itu dipersetujui Pesuruhjaya Kehakiman, Choong Siew Khim menerusi keputusan penghakiman yang dibuat di dalam kamar Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Cubaan untuk menemu bual keluarga mangsa bagaimanapun gagal kerana mereka bergegas keluar dari pekarangan Mahkamah Tinggi sejurus penghakiman diputuskan.

Sebelum ini, ketiga-tiga plaintif telah memfailkan saman menuntut ganti rugi berjumlah RM105 juta daripada 10 defendan berhubung kematian tiga murid sekolah rendah itu di Mahkamah Tinggi.

Defendan yang disaman ialah guru besar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Mambang Diawan, guru besar SJKT Gopeng, Ketua Pegawai PPD Kinta Selatan, Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Perak dan Komandan Kem 1Malaysia  Kuala   Dipang .

Pihak lain yang turut disaman ialah penderma jambatan gantung itu iaitu syarikat GS Synergy Sdn. Bhd., syarikat kontraktor CWL Enterprise, Menteri Pelajaran dan kerajaan Malaysia.

Dalam tragedi 26 Oktober 2009, Devatharshi, Divyashree, dan Dina Deve terkorban setelah jambatan gantung yang digunakan untuk menyeberang Sungai Kampar runtuh sewaktu mereka menyertai Perkhemahan 1Malaysia.

Perkhemahan selama empat hari itu disertai 298 murid tahun empat hingga enam dari sekolah seluruh daerah Kampar.

No comments:

Post a Comment