Translate

Tuesday, October 25, 2011

Lapan pengedar dadah diberkas


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Polis menumpaskan sebuah sindiket pemprosesan dan pengedaran dadah terbesar di daerah Kinta ekoran empat serbuan di bandar raya ini dan penahanan lapan lelaki pada Sabtu lalu.

Sindiket yang dianggotai lapan lelaki berusia 26 hingga 36 tahun itu dipercayai aktif sejak enam bulan lalu dengan melibatkan urus niaga pengedaran dadah bernilai jutaan ringgit di bandar raya ini, Batu Gajah dan Kampar.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam semua serbuan tersebut, polis menyita pelbagai jenis dadah dan peralatan membuat dadah yang kesemuanya berharga hampir RM1 juta.

Menurut beliau, antara dadah yang dirampas adalah lapan kilogram (kg) heroin, syabu (1.219kg), syabu cecair (30 liter), ketamin (108 gram) dan pil psikotropik (21 gram). Kesemua dadah itu bernilai RM550,000.

Turut dirampas tiga buah kereta, sebuah lori, tiga buah motosikal, wang tunai, barangan kemas, seutas jam tangan dan sembilan telefon bimbit yang kesemuanya bernilai RM371,000.

“Sindiket ini menumpukan kepada pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan syabu untuk dipasarkan di sekitar daerah Kinta.

“Dengan tertumpasnya kumpulan ini, polis percaya berjaya menjejaskan penawaran dadah di daerah ini,” kata beliau pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini semalam.

Mengenai suspek ditahan, Noor Rashid berkata, tujuh daripada mereka merupakan anak jati bandar raya ini, manakala seorang lagi berasal dari Melaka.

Dua daripada mereka mempunyai rekod jenayah.

Suspek-suspek itu ditahan dalam serbuan di sebuah kondominium di Taman Meru Impiana, Jelapang Tambahan, Taman Silibin Mewah dan Taman Suria, Tanjung Rambutan.

Salah seorang suspek ditahan patah tangan kiri dan cedera di pinggang dan kaki setelah nekad terjun dari tingkat satu kondominium yang diserbu.

Kesemua yang ditahan direman selama lapan hari sehingga 29 Oktober ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment