Translate

Monday, September 12, 2011

Ribuan pengunjung banjiri ekspo

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Cuaca hujan tidak menjadi halangan kepada ribuan pengunjung untuk membajiri Ekspo Saintis Muda Perak di perkarangan Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya di sini semalam.

Dekan Fakulti Sains dan Matematik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Mustaffa Ahmad berkata, lebih 2,000 orang terutama remaja tidak melepaskan peluang mengunjungi hari kedua ekspo yang julung kali dianjurkan itu.

Beliau berkata, antara ruang pameran yang mendapat tumpuan ramai ialah Petrosains yang menyediakan lima permainan interaktif berkaitan sains dan matematik.

"Kebanyakan pelajar berpusu-pusu ke ruang pameran tersebut untuk mencuba permainan yang merangsang minda berkenaan.

"Saya percaya usaha penganjuran ekspo ini untuk menarik minat golongan muda terhadap subjek Sains dan Matematik pada sisi menyeronokkan mencapai matlamat," katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Ekspo anjuran UPSI dan K Perak Implementation and Coordination Corporation (K Perak) bertemakan Inovasi Sains, Matematik dan Teknologi untuk Kelestarian Alam itu bertujuan memupuk minat pelajar terhadap bidang sains dan teknologi.

Mustaffa berkata, sesi saintis bersama pelajar melibat dua saintis tempatan iaitu Prof. Dr. Halimaton Hamdan dan Prof. Dr. Burhanuddin Yeop juga memberi impak positif kepada penganjuran ekspo tersebut.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai agar tidak melepaskan peluang untuk menghadiri hari terakhir dan kemuncak ekspo terbabit hari ini.

"Keputusan pertandingan Peperangan Minda yang melibatkan 80 buah sekolah akan diumum esok (hari ini) yang menawarkan ganjaran wang tunai, sijil dan Piala Raja Dr. Nazrin Shah bagi kategori sekolah menengah dan Piala Menteri Besar Perak bagi kategori sekolah rendah.

"Hadiah-hadiah akan disampaikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zakarshi," katanya.

No comments:

Post a Comment