Translate

Tuesday, September 27, 2011

Mati ditetak lapan lelaki

IPOH - Kesilapan seorang remaja yang memilih jalan mati untuk melarikan diri ketika dikejar sekumpulan lapan lelaki mengundang padah apabila dia mati ditetak penjenayah tersebut dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Menglembu dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 8 malam itu mengakibatkan K. Pirathibaraj, 19, dari Taman Buntong Ria di sini mati akibat kecederaan parah di kepala dan tangan akibat tetakan  tersebut. Ketika itu mangsa menunggang motosikal.

Difahamkan, pekerja kilang itu baru dua minggu berada di sini selepas permit kerjanya di Singapura tamat tempoh. Dia dijangka bekerja di negara republik itu dalam tempoh terdekat selepas memperbaharui dokumen tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, mangsa dikejar suspek yang menunggang empat motosikal di persimpangan lampu isyarat Falim-Menglembu.

"Mangsa kemudian cuba memecut motosikal namun terperangkap selepas tersalah masuk ke jalan mati. Suspek mengambil kesempatan itu menetak hingga mati mangsa dengan parang sebelum meninggalkan mayatnya di depan sebuah kilang berhampiran," katanya.

Polis masih menyiasat motif kejadaian dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, abang mangsa, K. Magendran, 30, memberitahu, adiknya dijangka pergi ke Singapura semula untuk berkerja selepas memperbaharui permit kerjanya yang tamat tempoh.

Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka sekeluarga kerana setahunya, adiknya tidak mempunyai musuh kerana sibuk bekerja di negara jiran itu.

No comments:

Post a Comment