Translate

Monday, September 5, 2011

Majlis hari jadi nenek diserang empat lelaki


 IPOH – Kemeriahan sebuah majlis sambutan ulang tahun kelahiran seorang nenek gempar apabila tiba-tiba diserang empat lelaki tidak dikenali yang bersenjatakan pistol, parang dan kayu golf di Taman Desa Rishah, Buntong di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.50 pagi itu, Gordan Francis, 18, yang merupakan cucu M. Marianee, 58, cedera parah terkena tembakan pada bahu kirinya.

Ibu saudara mangsa, G. Ushanantini, 30, berkata, semasa kejadian, dia sedang menganjurkan permainan sempena sambutan ulang tahun kelahiran ibunya yang melibatkan hampir 16 orang kanak-kanak.

Dia berkata, ketika itu, Gordan yang merupakan seorang pembantu jualan sebuah kedai telefon bimbit sedang duduk di atas sebuah motosikal bersama dua rakannya di luar pagar rumahnya.

“Tiba-tiba datang sebuah kereta Proton Iswara berwarna putih yang meluncur laju melintasi rumahnya sebelum mengundur dan seorang lelaki keluar lalu melepaskan tembakan ke arah Gordan.

“Anak saudara saya bertindak melarikan diri dengan motosikal tetapi tembakan kedua yang dilepaskan terkena bahu kirinya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rishah di sini semalam.

Ushanantini memberitahu, keadaan bertambah kecoh apabila dua lelaki lain yang bersenjatakan sebilah parang dan sebatang kayu golf keluar daripada kereta terbabit lalu memukul beberapa ahli keluarganya.

Menurutnya, cubaan suspek terbabit memasuki rumahnya gagal selepas dia segera mengunci gerigi besi pintu hadapan rumahnya.

"Seorang suspek tidak berpuas hati bertindak memecahkan pintu kaca pintu hadapan dengan kayu golf namun jeritan kanak-kanak yang ketakutan termasuk tangisan seorang bayi berusia sebulan sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu menyebabkan semua lelaki itu melarikan diri.

"Kami kemudiannya menghubungi polis dan membawa  Gordan  di Hospital Pakar KPJ Ipoh. Dia kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan mengeluarkan peluru,"katanya.

Ushanantini mendakwa keluarganya tidak mengenali dan mengetahui motif serangan tersebut dan memberitahu serangan itu turut dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar rumahnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak Datuk Dzuraidi Ibrahim berkata, sebelum menyerang Gordon, kumpulan lelaki sama turut menculik seorang lelaki berusia 21 tahun di sebuah restoran di Jalan Kledang Utara.

Beliau berkata, berlaku pergelutan hingga menyebabkan seorang suspek melepaskan satu tembakan yang tersasar terkena dinding sebuah hotel berhampiran.

"Selepas diculik, lelaki itu yang merupakan kelindan lori dipaksa memasuki kereta suspek sebelum ditutup kepalanya dengan kain. Selepas itu, mereka menuju ke rumah  Gordan  yang terletak kira-kira 500 meter dari situ.

"Mangsa pertama telah dibelasah sebelum dilepaskan di Jalan Kuala Kangsar kira-kira 10 kilometer dari tempat kejadian pada kira-kira pukul 6.30 pagi tadi (semalam),"katanya.

Dzuraidi berkata, polis melancarkan gerakan memburu keempat-empat suspek tersebut dan kes telah disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 dan Seksyen 307 Kanun Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment