Translate

Thursday, September 22, 2011

Buku keunikan Ipoh dilancar


IPOH - Masyarakat di negara ini khususnya mereka yang berasal Perak kini berpeluang untuk mendalami keunikan bandar raya Ipoh dari perspektif warganya sendiri dengan terlancarnya buku Ipoh, My Home Town semalam.

Buku terbitan Media Masters Publishing Sdn. Bhd. itu merupakan inisiatif Komander Ian Anderson , 73, seorang lelaki Scotland yang berhijrah ke bandar raya ini pada tahun 1999.

Anderson  yang bertindak sebagai penyunting buku tersebut berjaya mengumpulkan sebanyak 64 cerita hasil tulisan 47 warga bandar raya ini termasuk kartunis terkenal, Datuk Lat atau nama sebenarnya, Mohammad Nor Khalid.

"Dalam buku setebal 276 muka surat ini, penulis mendedahkan tentang pengalamannya membesar di Ipoh.

"Idea penerbitan buku ini timbul daripada keselesaan saya menetap di Ipoh yang damai namun dalam masa sama agak risau dengan sikap segelintir generasi muda yang kurang mencintainya," katanya selepas pelancaran buku tersebut oleh bekas Menteri Tenaga, Air dan Telekomunikasi, Tun Lim Keng Yaik di Kelab Diraja Ipoh di sini semalam.

Dalam majlis sama, Keng Yaik turut berkongsi pengalaman beliau membesar di bandar raya ini selepas berhijrah dari Tapah pada usia tujuh tahun. Anderson  berkata, beliau mengambil masa 21 bulan untuk mengumpulkan bahan buku berkulit keras yang berharga RM100 itu.

Menurutnya, buku yang boleh didapati di kedai-kedai buku seluruh negara tersebut turut mengabadikan 400 gambar lama yang merakam perkembangan bandar raya itu sejak ratusan tahun lalu.

No comments:

Post a Comment