Translate

Saturday, September 17, 2011

56 bayi Hari Malaysia dilahirkan


KUALA LUMPUR – Seramai 56 bayi Hari Malaysia 2011 dilahirkan di tiga hospital kerajaan dan dua hospital swasta di ibu negara dan Ipoh, Perak sejak tengah malam semalam hingga tengah hari semalam.
Daripada jumlah itu, 20 merupakan bayi perempuan dan 18 bayi lelaki.

Tinjauan Bernama mendapati kelahiran paling ramai di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dengan 17 bayi diikuti Hospital Ampang (10) dan lapan bayi di Hospital Kajang.
Di hospital swasta pula, Pusat Perubatan Sentosa dua kelahiran manakala seorang bayi dilahirkan di Pusat Perubatan Tropicana.

Daripada jumlah itu, empat kelahiran melalui pembedahan, tiga di HKL dan seorang di Hospital Ampang.
Tinjauan mendapati HKL menyambut kelahiran pertama bayi seberat 2.94 kilogram (kg) pada pukul 12.15 pagi manakala bayi seberat 2.21kg di Hospital Ampang pada pukul 12.20 pagi, masing-masing seorang perempuan dan lelaki.

Bagi Azizah Abu Bakar, 37, benar-benar menikmati kemerdekaan apabila penantiannya selama lapan tahun untuk mendapatkan anak perempuan tercapai apabila melahirkan anak keempatnya bertepatan dengan sambutan Hari Malaysia ke-48.

Dia yang sepatutnya bersalin pada 10 Septem lepas tidak menyangka melahirkan anaknya itu melalui pembedahan di HKL pada 1.30 pagi tadi dan amat bersyukur.

Wanita ini berkata dia telah pun mempunyai tiga anak lelaki sebelum ini yang jaraknya lapan tahun dengan bayi perempuannya itu diberi nama Aisyah Nabihah.

"Saya berharap bayi ini membesar menjadi warga yang berguna dan mampu menyumbangkan sesuatu kepada negara," katanya dengan penuh gembira.

Turut berkongsi kegembiraan ialah N Natieya, 20, yang melahirkan bayi lelakinya kira-kira sejam sebelum itu di hospital yang sama.

Noraini Roz, 24, pula melahirkan bayi perempuan seberat 2.94kg kira-kira 15 minit selepas tengah malam.

"Rezeki saya melahirkan anak kedua sempena sambutan Hari Malaysia dengan proses bersalin yang mudah," katanya.

Sementara itu di Ipoh, Perak, seramai 18 bayi telah dilahirkan pada  sambutan Hari Malaysia di Hospital Raja Permaisuri Bainun  (HRPB), Ipoh semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan,  Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal  Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon  berkata, ia merangkumi 10 bayi lelaki dan lapan bayi  perempuan dari pelbagai kaum termasuk dua dari komuniti  Orang Asli.

No comments:

Post a Comment