Translate

Wednesday, August 10, 2011

Sukar terima kematian dua insan tersayang serentak

IPOH - Serry Priary a/p Saari yang terselamat dalam kejadian tanah runtuh di perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, Cameron Highlands dekat sini Ahad lalu tidak dapat menerima hakikat bahawa dia kehilangan dua insan tersayang serentak.

Serry Priary (gambar), 15, yang mula sedar pada lewat petang kelmarin enggan mempercayai kematian kedua-dua insan tersayang tersebut iaitu ibunya, Sara a/p Gunung, 37, dan neneknya, Normadiah Lasik, 69, biarpun dimaklumkan sendiri oleh bapanya, Saari Balad, 39.

"Tidak percaya...," rintihnya dengan berlinangan air mata sambil menggelengkan kepala ketika ditemui di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah, Tanah Rata, Cameron Highlands itu juga bertekad tidak mahu menjejakkan kaki ke kawasan itu lagi kerana trauma.

Dia yang patah bahu dan kaki kanan, terkehel tangan kiri serta cedera di muka memberitahu, sebelum kejadian dia baru selesai mandi selepas pulang dalam aktiviti gotong-royong di sekolahnya.

Menurutnya, ibunya yang baru pulang bekerja dari sebuah hotel di Brinchang, Cameron Highlands sedang menonton televisyen sementara neneknya tidur.

"Ibu sempat menasihatkan saya agar belajar bersungguh-sungguh dan menjaga adik-adik tetapi saya buat tidak endah dan terus mandi.

"Selepas memakai pakaian, dalam sekelip mata rumah kami ranap dihempap tanah runtuh hingga menyebabkan saya terpelanting dan tidak sedarkan diri hingga petang semalam (kelmarin)," cerita anak kedua daripada empat beradik itu.

Semalam Kosmo! melaporkan tujuh maut termasuk enam sekeluarga iaitu Jaafar Balad, 48; isterinya, Normah Gunung, 51; anaknya, Mohd. Ikbal, 15; menantu, Yusniza Yusof, 22; adik ipar, Sara a/p Gunung, 37; dan ibu mentua, Normadiah Lasik, 69.

Turut terkorban di perkampungan yang telah diduduki lebih 40 tahun lalu ialah jiran mereka, Mat Ali a/l Ah San, 50.

Selain Serry Priary , Bah Anjang Besar a/l Alang, 39, turut parah dalam kejadian itu.

Sementara itu, sepupu Serry Priary , Faridah a/p Anjang Bah Besar, 18, memberitahu, bapanya, Bah Anjang Besar semakin stabil dan boleh menjamah makanan tanpa bantuan.

No comments:

Post a Comment