Translate

Saturday, August 27, 2011

Jamal Abdillah derma beras satu treler

IPOH – Penyanyi terkenal, Jamal Abdillah menyumbang satu treler beras kepada golongan fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal seluruh Perak semalam.

Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Ali, 52, berkata, sumbangan 1,520 kampit beras bernilai RM20,000 itu bertujuan untuk membantu golongan terbabit menyambut Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari lagi.

“Saya bersyukur menerima rahmat dan hidayah oleh Allah untuk menghadapi kehidupan yang penuh pancaroba ini dan diberi anugerah (menyanyi) untuk memperoleh rezeki.

“Saya pulangkan semula sebahagian daripada rezeki itu kepada golongan memerlukan. Saya niat untuk sedekah pahalanya kepada roh arwah ayah dan ibu saya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan beras tersebut kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria di Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini semalam.

Sumbangan beras itu kemudiannya diagih-agihkan kepada golongan sasaran termasuk lapan pertubuhan amal dan kebajikan seluruh Perak.

Antara pertubuhan terbabit yang menerima sumbangan beras tersebut ialah Badan Khidmat Islam Perak (Bakip), Yayaan Anak Yatim Darussakinah, Teluk Intan dan Per satuan Ibu Tunggal Cekal Perak.

Raja Pop itu berkata, beliau mengambil iktibar daripada amalan arwah bapanya, Ali Hussein yang semasa hayatnya sering menghulurkan derma pada golongan memerlukan terutamanya pada bulan Ramadan.

"Arwah ayah yang meninggal tiga tahun lalu sering berpesan jangan lupa untuk membantu orang lain sekiranya dikurniakan rezeki lebih.

"Alhamdulillah ini sumbangan saya pada tahun ini dan saya berazam untuk meneruskan tradisi ini pada tahun-tahun mendatang sekiranya berkemampuan," katanya.

No comments:

Post a Comment