Translate

Saturday, August 27, 2011

Ekspo Saintis Muda tarik minat pelajar minati sains

IPOH - Ekspo Saintis Muda Perak yang menonjolkan subjek sains secara interaktif akan diadakan di Pusat Dagangan Tekno Perak (PTTC), Bandar Meru Raya di sini pada 9 hingga 11 September ini.

Dekan Fakulti Sains dan Matematik Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Dr. Mustaffa Ahmad berkata, ekspo itu bertujuan untuk menarik minat lebih ramai pelajar memilih aliran sains tulen.

"Dengan tema Berseronok Dengan Sains, generasi muda akan didedahkan dengan teknik mudah dan menyeronokkan mempelajari mata pelajaran sains tulen seperti Kimia, Biologi, Fizik, Matematik dan Matematik Tambahan.

"Antara daya penarik ekspo berkenaan ialah pertandingan 'Peperangan Minda' melibatkan 60 sekolah seluruh Perak yang mempertaruhkan projek inovasi sains masing-masing," katanya.

Kosmo! merupakan media rasmi ekspo anjuran UPSI dan K PerakImplementaion and Coordination Corporation (KPerak ) itu.

Mustaffa berkata, pertandingan itu terbahagi kepada 11 kategori inovatif sains dan matematik melibatkan sekolah rendah, sekolah menengah dan guru yang menawarkan hadiah trofi, wang tunai dan sijil penghargaan.

Menurut beliau, perjalanan pertandingan 'Peperangan Minda' tersebut juga bakal menjadi sebuah dokumentari berkonsep program realiti yang akan diarahkan penerbit dokumentari, Jak Othman.

Mustaffa berkata, penyampaian hadiah dan penutup ekspo berkenaan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain itu, antara program menarik lain yang disusun sepanjang penganjuran ekspo tersebut ialah bijak sifir, kuiz matematik dan celoteh sains.

"Beberapa saintis seperti penerima Anugerah Merdeka 2009, Prof. Dr. Halimaton Hamdan bakal menyampaikan ceramah," katanya.


No comments:

Post a Comment