Translate

Saturday, July 23, 2011

Dua anggota polis didakwa makan rasuah

IPOH - Dua anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah pada November tahun lalu.

Lans Koperal Mohd. Fauzi Embong, 31 dan Koperal Zulkifli Mohamed, 51, dituduh melakukan perbuatan itu sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan memiliki dadah.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh meminta suapan sebanyak RM1,000 daripada pengadu yang didakwa memilik dadah jenis syabu.

Perbuatan itu dilakukan Mohd. Fauzi dan Zulkifli yang bertugas di Unit Kereta Peronda (MPV) IPD Manjung ketika mereka terserempak dengan lelaki itu di Taman Setia Jaya, Setiawan pada pukul 12.15 pagi, 17 November 2010.

Bagi pertuduhan kedua pula, kedua-dua tertuduh yang menetap di kuarters IPD Manjung, Seri Manjung didakwa menerima suapan RM300 daripada pengadu di hadapan Pejabat Pos Laju Setiawan kira-kira 35 minit kemudian.

Bagi pertuduhan meminta rasuah, mereka didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Manakala bagi pertuduhan meminta rasuah pula, Mohd. Fauzi dan Zulkifli di dakwa di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali nilai suapan bagi setiap pertuduhan.

Mohd. Fauzi dan Zulkifli yang diwakili peguam Ranjit Singh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sementara pihak pendakwaan dikendali Timbalan Pendakwaraya SPRM, Mohd. Shahrullah Khan Nawab Zadah Khan.

Hakim Noor Hayati Mat membenarkan Mohd. Fauzi dan Zulkiflee masing-masing dibebaskan dengan wang jaminan RM10,000 dan seorang penjamin dan menetapkan 23 Ogos depan sebagai tarikh sebuatan semula.

No comments:

Post a Comment