Translate

Friday, July 15, 2011

Baiti Jannati

TNB baiki rumah rakyat susah

DI SEBALIK tanggungjawab hakiki memastikan kelestarian bekalan elektrik di seluruh negara, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tetap komited menjalankan Tanggungjawab Sosial Korporatnya kepada golongan memerlukan di negara ini.

Selaras dengan saranan kerajaan, syarikat utiliti terbesar negara itu mengambil inisiatif membaiki rumah golongan orang kelainan upaya (OKU), ibu tunggal, warga emas dan miskin di luar bandar menerusi projek Baiti Jannati.

Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh berkata, projek amal tersebut semakin berkembang sejak dilancarkan Timbalan Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Najib Tun Razak di Pekan, Pahang pada 2007.

"Sejak lima tahun lalu, sebanyak 86 rumah golongan sasaran di seluruh negara telah diperbaiki TNB menerusi program Baiti Jannati dengan peruntukan lebih RM1 juta.

"Ia turut merangkumi 21 buah rumah termasuk lima di Perak pada tahun ini. Pelaksanaan projek ini merupakan platform kepada TNB selaku Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) menzahirkan keprihatinan terhadap golongan memerlukan," katanya dalam majlis pelancaran projek Baiti Jannati TNB peringkat kebangsaan di Kampung Dato' Ahmad Said, Manjoi, Ipoh baru-baru ini.

Majlis pelancaran yang disempurnakan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah itu diadakan di rumah salah seorang penerima, Abdul Rani Abdullah Sani, 83.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Naib Presiden Hal Ehwal Korporat TNB, Adelina Iskandar dan Ahli Lembaga TNB, Datuk Abdul Manaf Hashim.

Che Khalib berkata, secara purata, TNB akan memilih 20 rumah usang dan uzur yang dihuni warga berkelayakan seluruh negara untuk diperbaiki setiap tahun.

Ujarnya, selain data daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), percalonan untuk program Baiti Jannati turut dilakukan pembaca meter TNB seluruh negara.

"Tugasan pembaca meter yang menjelajah setiap ceruk di negara ini untuk menghantar bil elektrik bulanan umpama mata dan telinga kepada TNB.

"Pendekatan ini efektif kerana melihat dan mengetahui sendiri kesusahan golongan sasaran yang layak dicalonkan menerima bantuan ini," katanya.

Che Khalib memberitahu, selain membiayai kos membaiki rumah, TNB turut menyumbang barangan keperluan dan alatan kelengkapan rumah kepada penerima terpilih terbabit.

Menurut beliau, sumbangan tersebut adalah hasil derma beberapa persatuan kakitangan TNB seperti Pelitawanis, Kelab Kilat, kesatuan sekerja dan PKPI.

"Tabung Projek Baiti Jannati TNB juga telah diletakkan di 135 Kedai Tenaga di seluruh Semenanjung Malaysia sejak April 2010.

"Sumbangan ikhlas warga kerja TNB dan pelanggan itu akan digunakan untuk membeli barangan keperluan penerima projek Baiti Jannati berkenaan," katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Abdul Rani memanjatkan kesyukuran ke atas keprihatinan TNB membina semula rumahnya yang sebelum ini hampir menyembah bumi dengan kos kira-kira RM30,000.

Beliau yang menetap di rumah tersebut bersama isteri dan dua orang anak termasuk seorang anak perempuan OKU berusia 41 tahun berkata, mengganggap projek amal TNB itu merupakan hadiah paling berharga sempena kehadiran Ramadan dan Syawal tidak lama lagi.

"Saya terharu dan macam tak percaya diberitahu Ketua Kampung Dato' Ahmad Said (Zainal Mohamad) tiga bulan lalu bahawa rumah uzur saya yang telah berusia lebih 60 tahun ini terpilih diperbaiki dalam program Baiti Jannati," katanya.

Seorang lagi penerima, Supiah Hassan, 71, dari Kampung Chepor Dalam, Ipoh pula berkata, inisiatif TNB tersebut sedikit sebanyak meringankan beban beliau sekeluarga.

Beliau yang menderita penyakit batu karang dalam hempedu menetap bersama anak bongsu yang mempunyai tujuh anak berusia setahun hingga 20 tahun dan cuma berpendapatan RM700 sebulan.

"Selama ini rumah yang uzur itulah 'syurga' kami. Terima kasih kepada TNB kerana memperbaikinya demi memberi keselesaan kepada kami anak beranak," katanya.

No comments:

Post a Comment