Translate

Monday, June 13, 2011

Kelincahan pesilat 'Mat Saleh' tarik perhatian

SERI ISKANDAR - Ketangkasan dua pesilat 'Mat Saleh' bertempur dengan mengguna senjata Melayu menarik perhatian ramai dalam Kejuaraan Seni Silat Warisan Mahaguru di Dewan Besar, Universiti Teknologi Petronas (UTP) yang berakhir malam kelmarin.

Permainan keris dan parang Ed Chard, 45, dan pasangannya, Scott McQuaid, 35, masing-masing dari Australia dan Britain dipilih sebulat suara oleh barisan juri sebagai naib juara kategori tempur bersenjata.

Chard berkata, beliau tidak menyangka cuma ketinggalan lima mata di belakang pesilat Persatuan Silat Sri Gayong Panglima Ulung yang muncul juara dalam kategori berkenaan.

"Bagi kami, melangkah ke pusingan akhir sudah menjadi satu pencapaian besar kerana kami perlu bersaing dengan 14 pasukan lain yang mewakili persatuan silat mempunyai reputasi hebat.

"Saya juga puas hati persembahan tempur bersenjata kami yang diinspirasi daripada pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat mendapat sambutan hangat penonton," katanya ketika ditemui selepas menerima hadiah piala dan penginapan percuma di sebuah resort di Pulau Pangkor daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin di sini kelmarin.

Terdahulu persembahan tempur bersenjata Chard dan McQuaid yang turut menyelitkan gimik berhenti sebentar untuk meminum air sebelum kembali bertarung ala pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat mendapat tepukan gemuruh daripada lebih 3,000 penonton.

Chard dan McQuaid menganggotai Persekutuan Harimau Berantai Pencak Silat Australia yang ditubuhkan oleh Jak Othman.

Kategori tempur bersenjata tersebut diungguli pasangan Muhammad Akmal Hafiz Jamaluddin dan Muhd. Azim Abdul Aziz daripada Persatuan Silat Sri Gayong Panglima Ulung yang mewakili Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka) Perlis.

Mereka berjaya meraih 243 mata setelah menampilkan persembahan mantap menerusi pertarungan menggunakan enam senjata Melayu iaitu tekpi, kerambit, keris, golok, parang dan kayu panjang.

No comments:

Post a Comment