Translate

Friday, June 10, 2011

Kejuaraan pamer aksi pertarungan sebenar

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

SERI ISKANDAR - Aksi pertandingan silat Melayu sebenar bakal dipertontonkan kepada orang ramai sepanjang Kejohanan Seni Silat Warisan Mahaguru di Dewan Besar, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Seri Iskandar di sini esok.

Pengarah kejohanan, Jak Othman berkata, ia berbeza dengan pertandingan silat lain yang dianjurkan pada masa ini yang berkonsepkan silat olahraga.

"Adab masuk gelanggang, tari silat dan penggunaan senjata pada kejohanan ini benar-benar menetapi tradisi pemilihan hulubalang Melayu yang pernah diamalkan dahulu kala.

"Penonton juga dibenarkan bersorak, bertempik dan memainkan alat muzik tradisional seperti gendang dan kompang untuk memainkan semangat peserta,” katanya selepas meninjau lokasi pertandingan di sini semalam.

Turut sama Pengurus Kanan KPerak Implementation and Coordanation Corporation (KPerak), Saidon Puteh.

Kejohanan itu adalah anjuran Homeland Frontier Sdn. Bhd. dengan kerjasama KPerak.

Ia akan menampilkan peserta dari 20 pertubuhan silat Melayu serta beberapa pesilat dari Britain, Australia, Jepun, Pakistan,Arab Saudi, Syria dan Kuwait.

Jak memberitahu, orang ramai yang ingin menyaksikan pertandingan itu tidak dikenakan sebarang bayaran.

“Pusingan awal bakal bermula pukul 2 petang. Setiap pasukan akan diuji dalam empat kategori iaitu bunga silat, tempur tanpa senjata, tempur bersenjata dan serikandi,” katanya.

Ujarnya, lima peserta terbaik setiap kategori untuk berentap dalam pusingan akhir mulai pukul 8.30 malam.

Kejohanan itu akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, ICT, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid.

No comments:

Post a Comment