Translate

Sunday, May 8, 2011

Dua nelayan dipenjara kerana rasuah APMM

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Dua nelayan dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM175,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam setelah didapati bersalah merasuah seorang pegawai Maritim Malaysia ( APMM ) tahun lalu.

Pooi Chai Lam, 51, dan Ooi Kim Lim, 54, menyogok pegawai maritim terbabit di sebuah hotel di bandar raya ini pada pukul 7 malam, 5 Mac 2010 sebagai dorongan untuk melepaskan tujuh bot menangkap ikan mereka yang disita agensi itu.

Mereka yang diwakili peguam A. Ellangovan membuat pengakuan bersalah di hadapan Hakim Julie Lack Abdullah.

"Hukuman diputuskan mengambil kira pengakuan kedua-dua tertuduh dan ini merupakan kesalahan pertama mereka. Harap ia jadi pengajaran, jangan diulangi lagi," kata Hakim Julie.

Terdahulu, Ellangovan merayu agar mahkamah tidak mengenakan hukuman berat kepada kedua-dua anak guamnya kerana perbuatan merasuah itu dilakukan dalam keadaan terdesak.

"Tindakan sita tujuh bot nelayan oleh APMM menyebabkan anak guam saya hilang punca pendapatan malah taraf pendidikan mereka juga rendah.

"Chai Lam menghidap penyakit darah tinggi dan insomnia manakala Kim Lim menderita tekanan darah tinggi, diabetes dan gout," katanya.

Berdasarkan fakta kes, Chai Lam dan Kim Lim memberi rasuah RM40,000 kepada Komander Pengkalan Operasi Maritim Perak, Wan Burhanuddin Jusoh sebagai dorongan untuk melepaskan tujuh bot menangkap ikan milik mereka yang disita agensi tersebut.

Bot milik kedua-dua tertuduh disita selepas ditahan ketika melakukan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat sorong.Mereka didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama dansemua pertuduhan turut dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

No comments:

Post a Comment