Translate

Monday, April 25, 2011

Takaful Ikhlas kutip RM1 juta

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. (Takaful Ikhlas) berjaya mengutip lebih RM1 juta nilai sumbangan pelanggan baru sepanjang empat hari penganjuran Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2011 yang berlangsung sejak Rabu lalu.

Naib Presiden Eksekutifnya, Wan Mohd. Fadzlullah Wan Abdullah berkata, pihaknya menyasarkan untuk mencapai jualan sekurang-kurangnya RM4 juta sepanjang penganjuran MSAM.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan dan kehadiran pengunjung yang semakin ramai, kami yakin dapat mencapai sasaran itu dalam tempoh tiga hari terakhir ini.

“Antara produk yang mendapat permintaan ialah Takaful Simpanan Ikhlas iaitu pelan berbentuk pelaburan yang menyediakan dana simpanan, memberi pulangan ke atas pelaburan dan menawarkan perlindungan kepada peserta,” katanya kepada pemberita selepas memeterai memorandum persefahaman (MoU) antara Takaful Ikhlas dengan Koperasi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di sini semalam.

Beliau telah mewakili Takaful Ikhlas manakala Koperasi MBI diwakili Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Rahim Md. Ariff.

Wan Mohd. Fadzlullah berkata, selain berperanan sebagai Rakan Agama dalam penganjuran MSAM 2011, Takaful Ikhlas juga menganjurkan pelbagai program sokongan lain seperti pertandingan mengeja jawi dengan kerjasama Utusan Melayu (M) Bhd.

Menurutnya, pengunjung turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik termasuk pakej menunaikan haji dan umrah menerusi penganjuran Kuiz Ikhlas @ MSAM.

Mengenai MoU dengan Koperasi MBI, Wan Mohd. Fadzlullah memberitahu, Takaful Ikhlas telah diberi kebenaran untuk mempromosikan produk takaful kendalian syarikat itu kepada kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Dua produk takaful yang diberi penekanan iaitu takaful Berkelompok Pinjaman dan pelan persaraan.

“Pada tahun pertama, kami menyasarkan sekurang-kurangnya satu pertiga daripada 3,500 kakitangan MBI akan menyertai skim takaful kami,” katanya.


No comments:

Post a Comment