Translate

Thursday, March 24, 2011

Kegiatan melombong haram di kubur terbongkar


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Disangkakan tanam sayur dan bela ikan, rupa-rupanya menggali batu besi secara senyap-senyap.

Tindakan sebuah syarikat mengeluarkan batu besi secara haram di kawasan Tanah Perkuburan Rapat Setia, Gunung Rapat di sini sejak tujuh bulan lalu akhirnya terbongkar berikutan serbuan pihak berkuasa semalam.

Dalam serbuan kira-kira pukul 8.30 pagi itu, lebih 200 penguat kuasa Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Ipoh, Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) dan polis menyita peralatan seperti jentolak, cangkul dan tong yang digunakan untuk ‘melombong’ batu besi di tanah perkuburan itu.

Namun tiada sebarang tangkapan dibuat kerana aktiviti mengeluarkan mineral yang mengandungi bijih besi itu tidak beroperasi semalam.

Serbuan itu dibuat berikutan laporan Jawatankuasa Tanah Perkuburan Rapat Setia (JTPRS) yang diamanahkan untuk menyelia tanah perkuburan tersebut oleh JAIP.

Pengerusi JTPRS, Mohd. Mokhtar Saidin berkata, sebelum ini, pihaknya telah menjalin kerjasama dengan sebuah syarikat untuk menjalankan projek pertanian dan penternakan ikan di kawasan seluas 6.9 hektar berdekatan tanah perkuburan itu.

"Bagaimanapun, tanpa pengetahuan kami mereka telah mengeluarkan mineral batu besi dari kawasan itu," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Mohd. Mokhtar yang menyedari kegiatan itu pada Oktober lalu berkata, dia telah membuat beberapa aduan di PTG Ipoh dan balai polis sejak lima bulan lalu sebelum tindakan diambil.

Sementara itu, jurucakap PTG berkata, pihaknya melakukan serbuan tersebut berikutan laporan mengenai kegiatan secara tidak sah syarikat itu di sebahagian kawasan kosong di tanah perkuburan tersebut.

Katanya, siasatan awal mendapati kelulusan permit tanah pertanian itu telah disalah guna syarikat terbabit dengan mengeluarkan batu besi yang biasanya digunakan untuk pembuatan seramik seperti pinggan mangkuk serta sebagai bahan binaan bangunan.

No comments:

Post a Comment