Translate

Tuesday, March 22, 2011

Cucu trauma lihat datuk maut terperosok

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH - Semalam mungkin merupakan hari yang tidak dapat dilupakan buat seorang cucu apabila menyaksikan datuknya maut selepas terperosok di bawah bas dalam kemalangan di Kilometer (KM) 341.9, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan di sini.

Nurul Najwa Roslan , 17, trauma dengan kejadian pada pukul 4.50 pagi itu apabila melihat datuknya, Sahad @ Shariff Md. Din, 74, mati dalam nahas itu.

"Saya trauma menyaksikan saat-saat akhir datuk menemui ajal dalam keadaan dia menahan sakit akibat tersepit," ceritanya yang menetap bersama datuknya di Tanjung Tokong, Pulau Pinang.

Sementara itu, anak Sahad, Sarimah, 45, berkata, sebelum kejadian, mereka lima sekeluarga dalam perjalanan untuk membeli-belah ke pusat pemborong Nilai 3, Negeri Sembilan dari Tanjung Tokong. Selain mereka, bas itu turut membawa 38 penumpang lain.

Ceritanya, selepas melepasi Plaza Tol Bidor, bas itu telah merempuh belakang sebuah lori yang berhenti di laluan kiri.

"Ekoran itu, enam penumpang parah akibat patah kaki manakala kami sekeluarga selamat sebelum keluar dari bas. Namun, tidak lama kemudian, ayah dan beberapa penumpang lain masuk semula ke dalam bas untuk membantu mereka yang tercedera.

"Tidak lama selepas itu, sebuah treler kontena merempuh belakang bas menyebabkan ayah terperosok ke bawah bas manakala beberapa mangsa lain terhumban ke hadapan," katanya.

Selain Sahad, Sarimah dan Nurul Najwa , bas itu turut dinaiki ibu Nurul Najwa , Hasni, 46; nenek, Hasanah Khamis, 64, dan seorang sepupunya. Sarimah mengalami luka di mulut, Hasanah cedera di lutut sementara Nurul Najwa luka di dada.

No comments:

Post a Comment