Translate

Wednesday, February 16, 2011

Usah runtuhkan perpaduan

PUTRAJAYA - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah setiap rakyat Malaysia harus mengikis sikap curiga-mencurigai antara satu sama lain dalam usaha untuk memupuk perpaduan di kalangan umat Islam mahupun sesama masyarakat.

Baginda bertitah, sentimen perkauman yang sempit mesti dibanteras sebelum ia membarah dalam masyarakat.

"Bersama-samalah kita membina negara yang tercinta ini dengan nilai kasih sayang dan persefahaman.

"Perpaduan dan keharmonian yang telah kita bina janganlah kita runtuhkan hanya kerana mencari keuntungan yang sementara," titah baginda pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1432 Hijrah bertemakan 1Malaysia 1Ummah di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di sini semalam.

Turut berangkat pada majlis itu Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Masnor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Norainee Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut hadir.

Baginda juga melahirkan rasa gembira kerana sambutan Maulidur Rasul memberi makna tersendiri kepada seluruh umat Islam dan membuktikan kecintaan kepada Nabi Muhammad S.A.W. dan seterusnya menghayati sejarah dan perjuangan Rasulullah bagi menegakan Islam.

Sementara itu di Johor Bahru, lebih 5,000 umat Islam memeriahkan sambutan di Masjid Sultan Abu Bakar di sini.

Sambutan disertai Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibn Almarhum Sultan Iskandar dan isteri, Tuanku Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah; Tengku Mahkota Johor, Tengku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim serta Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Di Kuantan, Sultan Ahmad Shah mengingatkan rakyat agar menghargai keamanan dan mengekalkan hubungan persaudaraan tanpa mengira batas agama dan warna kulit.

"Setiap anggota masyarakat perlulah menghargai keadaan aman di negara ini tanpa perlu ada prasangka semasa kita," titah baginda pada sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini.

Di Ipoh, Sultan Perak, Sultan Azlan Shah meminta pemimpin di negara ini mengambil iktibar daripada peristiwsa demonstrasi yang menjatuhkan kerajaan Tunisia dan Mesir baru-baru ini.

"Golongan muda mendambakan pemerintahan yang bersih daripada rasuah, tidak salah guna kuasa dan amanah," titah baginda ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri Perak di perkarangan Masjid Jamek Medan Klebang Restu, Chemor di sini.

Di Seremban, lebih 8,000 peserta daripada 99 kontijen yang mewakili pelbagai jabatan kerajaan dan swasta menyertai perarakan dan perhimpunan Maulidur Rasul di Padang Majlis Perbandaran Seremban di sini.

Perarakan di ketuai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan disertai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.

No comments:

Post a Comment