Translate

Tuesday, February 15, 2011

Terselamat dibaham harimau

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com

IPOH – Tindakan nekad seorang wanita Orang Asli memukul dengan senduk kayu kepala seekor harimau belang yang menyerang suaminya menyelamatkan nyawa lelaki tersebut daripada dibaham si belang di Kampung Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Gerik.

Dalam kejadian pukul 8 pagi kelmarin itu, Han Besou, 50-an, berada di dapur rumahnya dan mendengar jeritan suaminya, Tambun Gedui, 60, yang berada kira-kira 10 meter dari situ.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gerik, Deputi Supritendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Han terus berlari ke arah suaminya dan terkejut melihat seekor harimau menggomol suaminya.

“Han terus memukul kepala harimau dengan senduk kayu yang dibawanya berkali-kali menyebabkan harimau tersebut berhenti menyerang lalu melarikan diri ke dalam hutan,” katanya ketika dihubungi.

Ekoran kejadian itu, katanya, Tambun yang ketika itu memakai baju T dan seluar pendek cedera parah di bahagian kepala, leher, belakang badan dan lutut.

Jelasnya, isteri mangsa memaklumkan kejadian itu kepada Tok Batin kampung yang kemudiannya menghubungi pegawai Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk bantuan.

"Mangsa dibawa menggunakan bot merentasi Tasik Temenggor dan tiba di Hospital Gerik pada pukul 10 malam.

"Disebabkan kecederaan akibat gigitan harimau agak dalam, mangsa dipindahkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pagi ini (semalam)," katanya.

Tambun ketika ditemui di HRPB berkata, ketika kejadian dia keluar menyumpit tupai dan tidak menyedari langsung ada harimau di kawasan itu.

"Tiba-tiba sahaja harimau berkenaan menerkam saya dari arah belakang menyebabkan saya terjatuh.

"Saya lawan dengan menumbuk mukanya dan harimau berkenaan bertindak ganas mencakar dan menggigit lalu saya menjerit memanggil Han yang datang memukul kepala harimau berkali-kali dengan senduk kayu sebelum ia lari ke dalam hutan," katanya.

Turut melawat mangsa ialah Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon dan Pengarah Perhilitan Perak, Shabrina Mohd. Shariff.

Sementara itu, Shabrina berkata, kejadian tesebut merupakan kes pertama harimau menyerang manusia di kampung berkenaan sejak ia dibuka pada 2003.

Katanya, Tambun dipercayai diserang harimau belang dewasa seberat 90 kilogram manakala jantina haiwan itu dan motif serangan sedang disiasat.

Jelasnya, kawsan kejadian merupakan sebahagian daripada Taman Negeri Royal Belum yang mempunyai habitat haiwan liar termasuk harimau.


No comments:

Post a Comment