Translate

Monday, February 28, 2011

Tempoh jelaskan saman tidak dilanjut - Hishammuddin

IPOH - Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh menjelaskan saman trafik tertunggak yang akan berakhir hari ini ekoran kelonggaran selama enam bulan sejak Ogos lalu yang diberi kepada pesalah lalu-lintas sebelum ini sudah memadai.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, perkara itu telah dibawa oleh Menteri Pengangkutan iaitu Datuk Seri Kong Cho Ha ke Kabinet.

"Tetapi oleh kerana kita sudah bagi enam bulan kepada mereka yang melakukan kesalahan untuk menjelaskan saman, saya rasa Kabinet tidak akan membenarkan ia ditangguhkan lagi," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas harapan segelintir pesalah trafik agar kerajaan melanjutkan tempoh menjelaskan saman tertunggak sebelum 1 Mac ini.

Begitupun, Hishammuddin menjelaskan orang ramai yang menerima saman ekor ketika kenderaan mereka dipandu individu lain masih boleh mengemukakan rayuan biarpun selepas tamat tempoh ditetapkan.

"Kalau kereta mereka disaman sewaktu dipinjam orang lain dan mempunyai bukti, rayuan boleh dibuat walaupun selepas 28 Februari (hari ini)," katanya.

Sementara itu, kaunter pejabat pos yang dibuka khas semalam semata-mata bagi memudahkan pesalah trafik membayar saman trafik sebelum 28 Februari ini digunakan sepenuhnya oleh orang ramai untuk menjelaskan saman masing-masing.

Tinjauan di ibu negara mendapati, hampir semua pejabat pos seperti bangunan Daya Bumi, Pudu dan Desa Pandan dipenuhi orang ramai yang mengambil peluang untuk melangsai saman mereka sejak pukul 8 pagi.

Menurut beberapa petugas di pejabat pos terbabit, jumlah pesalah trafik yang datang sejak beberapa hari lalu mencatatkan angka konsisten iaitu antara 200 hingga 300 orang sehari.

Orang ramai menyerby balai polis dan pejabat pos di seluruh negara ekoran amaran daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menyenaraihitamkan dan mengaktifkan mata demerit terhadap mana-mana pesalah trafik yang gagal melunaskan saman mereka mulai 1 Mac ini.

No comments:

Post a Comment