Translate

Tuesday, February 15, 2011

Tambun tak mahu berburu lagi

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Pengalaman diserang harimau ketika asyik menyumpit seekor tupai Sabtu lalu menyebabkan Tambun Gedui, 60, mengalami trauma teruk sehingga dia berhasrat untuk tidak lagi pergi berburu ke hutan selepas ini.

Ekoran kejadian itu, warga emas Orang Asli itu yang mengalami kecederaan teruk akibat serangan si belang itu kini nekad untuk beralih angin daripada berburu kepada aktiviti menangkap ikan di Tasik Temenggor, Gerik sebagai mata pencarian terbarunya.

“Tak mahu masuk hutan lagi, takut. Setiap kali saya memejamkan mata, cengkaman gigi dan kuku harimau masih terasa dan sakitnya amat bisa.

“Tanam pisang dan ubi dimakan oleh gajah. Mahu sumpit tupai, dibaham harimau pula. Mungkin lepas ini saya tangkap ikan pula,” luahnya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe di Wad 4A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini semalam.

"Tanam pisang dan ubi dimakan gajah. Mahu sumpit tupai, dibaham harimau pula. Mungkin lepas ini saya tangkap ikan pula," luahnya ketika menerima kunjungan Ahli Parlimen Gerik, Datuk Tan Lian Hoe di Wad 4A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HPRB) di sini semalam.

Tambun yang semakin pulih daripada kecederaan sejak dirawat di hospital terbabit kelmarin ditemani dua anak lelakinya, Bolla, 30-an dan Helmi, 19.

Bapa kepada empat anak tersebut memberitahu, beliau menyumpit tupai untuk memenuhi permintaan salah seorang cucunya yang teringin untuk menjamah daging haiwan terbabit.

Dalam pada itu, Bolla mendakwa, kejadian bapanya diserang harimau tersebut menyebabkan penduduk Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Tiang gusar untuk memasuki hutan.

"Ramai yang masih tak berani masuk hutan kerana bimbang turut diserang. Kami anggap bapa bernasib baik dan kuat walaupun sudah tua kerana mampu melawan harimau yang panjangnya hampir satu setengah meter," kata Bolla.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Shabrina Mohd. Shariff berkata, satu pasukan telah dihantar ke perkampung Orang Asli terbabit untuk mengumpul maklumat mengenai harimau yang menyerang Tambun semalam.

"Selain mengumpul sampel bulu harimau yang mungkin tertinggal di lokasi serangan untuk dianalisis, kami turut cuba menjejak haiwan terbabit.

"Pemantauan berkala dan tindakan menghalau harimau berkenaan jauh ke dalam Hutan Belum mungkin diambil bagi memastikan haiwan itu tidak mengganggu kehidupan penduduk Orang Asli di perkampungan itu," katanya.

No comments:

Post a Comment