Translate

Tuesday, February 8, 2011

RM40 juta bangun semula Bazar Yau Tet Sin di Ipoh

MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Bazar Yau Tet Sin atau lebih dikenali sebagai Bazar Bulat suatu masa dahulu pernah menjadi ikon bandar raya ini.

Namun selepas strukturnya dirobohkan lebih 11 tahun lalu, ia semakin dilupakan. Namun usaha membinanya semula diharap dapat mengembalikan kegemilangannya.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI) diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk membangunkan semula bazar tersebut di tapak asalnya seluas kira-kira 0.31 hektar di Jalan Theater di sini.

Presiden PCCCI, Datuk Lim Kok Cheong berkata, pembinaan semula Bazar Bulat yang dianggarkan bernilai hampir RM40 juta akan menyerupai bentuk asalnya iaitu berbentuk segi lapan.

Beliau berkata, nostalgia Bazar Bulat yang pernah menjadi kompleks perniagaan dan kebudayaan tersohor bandar raya ini perlu dihidupkan bagi menyemarakkan kembali aktiviti ekonomi di sekitar Pekan Baru.

“Deretan kedai yang terdapat di Pekan Baru khususnya Jalan Theater, Jalan Mustafa Al-Bakri dan Jalan Raja Ekram yang terletak dengan tapak bekas Bazar Bulat mempunyai tarikan tersendiri.

“Namun kawasan tersebut yang meriah pada masa lalu kurang dikunjungi pada masa kini kerana masalah tertentu terutamanya tempat letak kereta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima geran hak milik tanah tapak bazar tersebut daripada Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon di sini semalam.

Turut menyaksikan penyerahan geran tersebut yang diadakan serentak dengan majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran PCCCI ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Sehubungan itu, Kok Cheong berkata, reka bentuk bangunan baru Bazar Bulat akan menilik berat penyediaan tempat letak kereta bertingkat yang mampu menempatkan 500 kenderaan dalam satu-satu masa.

Selain itu, beliau menjelaskan, kompleks tersebut juga akan dilengkapi dengan kemudahan hotel bajet selain mebngekalkan ciri-ciri asal Bazar Bulat yang merupakan pusat menjual kebanyakan produk dan makanan popular keluaran tempatan.

“Penyediaan kemudahan tersebut bertujuan untuk memudahkan pengunjung bukan sahaja membeli-belah di Bazar Bulat tetapi kedai-kedai lain yang turut terdapat di sekitar kawasan tersebut," katanya.

No comments:

Post a Comment