Translate

Saturday, February 12, 2011

Pengeluar produk madu terbesar

Flora Bee labur RM38.6 juta untuk projek di Kamunting, 200 usahawan kontrak dicari

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAIPING - Kamunting bakal menjadi pusat pengeluaran produk berasaskan madu terbesar negara dengan pembukaan pusat penternakan lebah madu oleh Flora Bee Hive Enterprise Sdn. Bhd. ( Flora Bee ) pada akhir bulan ini.

Ketua Pegawai Operasi Flora Bee , Kamaruddin Deo Abdullah berkata, projek usaha sama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) itu akan memfokuskan kepada pengeluaran produk Royal Jelly.

"Projek ini melibatkan pelaburan berjumlah RM38.6 juta yang mana NCIA akan membiayai RM2 juta manakala selebihnya oleh Flora Bee yang melibatkan pembukaan pusat latihan ternak lebah madu dan sebuah kilang pemprosesan hasil madu di Kamunting.

"Ia akan dijalankan secara konsep ladang kontrak dan 200 petani kontrak dari sekitar daerah utara Perak sedang dikenal pasti untuk menjadi perintis projek tersebut," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Ketua Eksekutif NCIA, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak di Dataran Kamunting dekat sini semalam.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Kamaruddin menjelaskan, projek itu disasar mengeluarkan sekurang-kurangnya 500 metrik tan produk Royal Jelly menjelang lima tahun akan datang.

Mengulas mengenai usahawan perintis yang terpilih untuk projek berkenaan, beliau berkata, Flora Bee yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam ternakan lebah madu secara komersial di negara Thailand, China, Vietnam dan Kemboja itu akan menyediakan latihan, lokasi dan teknologi industri terbabit kepada peserta yang terpilih.

Menurutnya, setiap penternak kontrak lebah madu akan turut mendapat khidmat nasihat secara terus daripada pakar dari Thailand dan China bagi menjamin penghasilan Royal Jelly yang bermutu tinggi dan pengeluarannya di optimumkan.

"Peralatan dan baka lebah madu yang bernilai RM56,000 akan dibekalkan Flora Bee dengan pemberian subsidi daripada syarikat sebanyak RM26,500.

"Baki modal RM30,000 akan diperoleh daripada pembiayaan mikro kredit Agrobank yang turut diuruskan syarikat," katanya sambil menambah peserta yang menyertai projek ini dijangka memiliki pendapatan sehingga RM3,000 sebulan.

Kamaruddin Deo berkata, semua hasil Royal Jelly keluaran penternak kontrak lebah madu terbabit akan dibeli syarikat mengikut harga pasaran dan ia bakal diedarkan untuk pasaran domestik dan luar negara.



No comments:

Post a Comment