Translate

Tuesday, January 25, 2011

Ribuan ikan mati akibat dituba

IPOH - Angkara ketamakan manusia, beribu-ribu ikan pelbagai spesies mati dipercayai dituba di sebuah kolam terbiar berhampiran Tanah Perkuburan Kristian Tambun di Batu 15, Tambun dekat sini semalam.

Bangkai ikan-ikan tersebut kemudiannya hanyut ke parit taman perumahan berhampiran hingga menyebabkan pencemaran bau sejak kelmarin.

Seorang penduduk, R. Sugunabala, 42, mendakwa perbuatan menuba ikan di sebuah kolam terbiar seluas padang bola sepak itu dilakukan individu tidak dikenali pada Sabtu lalu.

“Kolam itu telah ditinggalkan terbiar oleh pemiliknya setelah tanah tersebut dibeli oleh pemaju Sunway Group Berhad untuk sebagai sebahagian projek pembangunan Bandar Sunway Tambun pada tahun 2005.

“Namun ia tetap dikunjungi pemancing terutama pada hujung minggu kerana mempunyai banyak ikan seperti belida, lampam, haruan, keli, talapia dan rohu,”katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Sugubala mendakwa, segelintir kaki pancing dipercayai mengambil jalan singkat untuk memperolehi ikan dalam kuantiti banyak dengan melakukan perbuatan menuba.

Beliau mendakwa, kegiatan menuba yang terbaru itu telah menyebabkan beribu-ribu ikan yang berada di dalam kolam terbiar itu mati.

“Individu tidak bertanggungjawab cuma mengaut sedikit ikan sahaja sedangkan banyak lagi ikan di kolam yang juga bekas lombong yang mati dibiar begitu sahaja.

“Kami penduduk setempat kesal dengan perbuatan ter sebut apatah lagi, bangkai-bangkai ikan itu kini sudah mula busuk dan hanyut ke dalam parit berhampiran sehingga kami tinggal dalam keadaan tidak selesa,” katanya.

No comments:

Post a Comment