Translate

Friday, January 28, 2011

Perak selaras insentif mulai 2011

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

INSENTIF untuk atlet Perak yang cemerlang ketika mewakili negara di peringkat antarabangsa akan diselaraskan mulai tahun ini dengan atlet acara berpasukan bakal menerima ganjaran setara dengan atlet individu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan Perak , Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sebelum ini atlet negeri yang meraih pingat bagi acara berpasukan di Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik menerima ganjaran wang tunai yang lebih rendah daripada atlet individu.

"Contohnya, atlet berpasukan yang meraih sebutir pingat emas dalam Sukan Asia hanya menerima RM3,000 berbanding atlet individu layak meraih RM5,000.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri Perak memutuskan untuk membuat penyelarasan agar atlet berpasukan juga menerima ganjaran yang sama banyak dengan atlet individu mulai 2011," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan insentif kepada 11 atlet kelahiran Perak yang cemerlang pada Sukan Komanwel di New Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China penghujung tahun lepas di Wisma Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak di Ipoh, semalam.

Zainol Fadzi berkata, penyelarasan tersebut dibuat sebagai menghargai komitmen setiap atlet terbabit untuk mengharumkan nama negara tanpa mengira dia menyertai acara individu mahupun berpasukan.

Beliau menjelaskan, beberapa atlet Perak telah tampil cemerlang dalam acara berpasukan seperti hoki yang menyaksikan empat pemain kelahiran Perak membarisi skuad negara yang mencipta sejarah meraih pingat perak pada Sukan Asia 2010.

"Saya berharap penyelarasan ini mampu menaikkan moral atlet Perak terutamanya dalam acara berpasukan untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa," katanya.

Dalam pada itu, jaguh beregu badminton negara, Koo Kiet Keat mendahului senarai penerima ganjaran dengan meraih RM17,000 berikutan kecemerlangan dia bersama pasanganya, Tan Boon Heong menggondol tiga pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 dan pingat perak pada Sukan Asia 2010.

Permata sukan terjun negara, Leong Mun Yee yang meraih pingat perak dalam acara papan anjal 10 meter (m) pada Sukan Komanwel 2010 dan dua pingat perak lagi dalam acara papan anjal 10m dan 3m pada Sukan Asia 2010 pula menerima ganjaran sebanyak RM12,000.

Atlet menembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi menerima insentif RM11,000 setelah memungut dua pingat gangsa masing-masing di Sukan Komanwel 2010 dan Sukan Asia 2010 manakala seorang lagi penembak, Hasli Izwan Amir Hassan pula meraih RM8,000 atas kejayaannya membawa pulang dua pingat perak daripada Sukan Asia 2010.

Seorang lagi penembak negara, Hafiz Adzha yang berpasangan dengan Hasli Izwan dalam acara 25m Rapid Fire Pistol pada temasya sama juga menerima ganjaran RM4,000.

Penerjun negara, Cheong Jun Hoong yang memungut pingat gangsa dalam acara 1m papan anjal wanita pada Sukan Komanwel 2010 meraih RM3,000 sementara pemanah negara, Arif Farhan Ibrahim Putra pula mendapat RM2,000 berikutan kejayaannya memperoleh pingat perak dalam acara memanah berpasukan pada temasya sama.

Empat pemain hoki negara iaitu Azlan Misron, Roslan Jamaluddin, Hafifihafiz Hanafi dan Muhammad Sukri Abdul Mutalib pula masing-masing menerima insentif RM2,000.

No comments:

Post a Comment