Translate

Friday, January 21, 2011

Lagi wartawan cuba disamun

IPOH - Seorang wartawan akhbar Tamil, Makkal Osai cawangan Perak terpaksa menerima empat jahitan di tangan kanan selepas bergelut dua penjenayah yang mahu menyamun kamera digital miliknya di Taman Sri Wani, Silibin di sini semalam.

kejadian pada pukul 1.30 pagi itu berlaku ketika mangsa, M. Ilangovan, 44, baru sampai ke rumah selepas selesaimembuat liputan pra-sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar, Gunung Cheroh di sini.

"Semasa saya membuka pintu pagar rumah, tiba-tiba salah seorang lelaki tidak dikenali menyerang saya dari arah belakang.

"Seorang lagi lelaki cuba merentap beg galas yang mengandungi kamera digital yang disandang namun saya berjaya menepisnya," cerita wartawan itu ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Berikutan itu, cerita Ilangovan berlaku pergelutan sehingga salah seorang penjenayah tersebut bertindak ganas menoreh tangan kanannya dengan sebilah pisau.

Kedua-dua penjenayah itu melarikan diri dengan sebuah motosikal tanpa dapat merampas kamera digital miliknya apabila melihat beberapa orang jirannya keluar untuk membantu.

"Saya dihantar oleh ahli keluarga ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk mendapatkan rawatan. Tangan kanan saya yang tercedera telah menerima empat jahitan.

"Saya percaya penjenayah terbabit mengekori saya sampai ke rumah dengan menyasar untuk menyamun kamera digital," katanya.

Beliau telah membuat laporan mengenai kejadian tersebut di Balai Polis Jelapang semalam.

Ia merupakan kes kedua kamera digital milik pengamal media Perak cuba disamun dalam jangka masa seminggu selepas kes melibatkan Penolong Ketua Biro Kosmo! Perak, Ahmad Syakir Sazili pada Ahad lalu.

Kosmo! Selasa lalu melaporkan Ahmad Syakir bergelut dengan seorang penjenayah yang bersenjatakan kayu yang menceroboh pejabat cawangan Kosmo! di sini demi menyelamatkan kamera digitalnya daripada disamun.

No comments:

Post a Comment