Translate

Thursday, January 13, 2011

IPD Ipoh dipecah dua untuk lancarkan operasi

IPOH - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh yang bertanggungjawab mengawal ketenteraman dan keselama tan seluruh bandar raya seluas kira-kira 643 kilometer (km) persegi ini bakal dipecahkan kepada dua bahagian.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahlan berkata, pemisahan IPD Ipoh bertujuan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan polis kepada warga bandar raya ini.

“Kawasan liputan IPD Ipoh luas dan perlu menyelia sebanyak 24 balai polis. Sehubungan itu, kami merasakan wujud keperluan untuk bandar raya ini mempunyai dua IPD.

“Idea ini bukan asing untuk bandar raya besar kerana sebelum ini Johor Bahru juga mempunyai dua IPD iaitu IPD Johor Utara dan IPD Johor Selatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Perak di sini semalam.

Mohd. Shukri berkata, kertas kajian mengenai cadangan tersebut telah dihantar kepada Bukit Aman untuk pertimbangan dan berdasarkan cadangan tersebut, IPD Ipoh akan dipecahkan kepada IPD Ipoh Barat dan IPD Ipoh Timur.

"Setiap IPD akan diketuai ketua polis daerah berpangkat Asisten Komisioner dan masing-masing menyelia 12 balai polis.

"Kami menyasarkan ia dapat direalisasikan menjelang sambutan Hari Polis ke-204 pada penghujung Mac ini," tambahnya.

Pada ketika ini, IPD Ipoh diketuai Asisten Komisioner Azisman Alias yang bertanggunjawab memberi perkhidmatan kepada lebih 710,000 warga kota. Ipoh merupakan bandar ketiga terbesar di negara ini.

Dalam pada itu, Mohd. Shukri memberitahu kadar indeks jenayah di Perak menurun 10.23 peratus pada tahun lalu berbanding tahun 2009.

Menurut beliau, Polis Perak juga berjaya mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) menurunkan jenayah jalanan dengan pengurangan 20.29 peratus kadar jenayah tersebut dalam tempoh sama.

2 comments: