Translate

Monday, January 3, 2011

Hospital KPJ pertama buka pusat perlindungan bayi

IPOH - Hospital Pakar Kumpulan Perubatan Johor ( KPJ ) Ipoh di sini muncul sebagai hospital pertama di negara ini yang membuka pusat perlindungan bayi bagi mengelakkan kes-kes pembuangan bayi.

Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar KPJ Ipoh , Ahmad Nasiruddin Harun berkata, usaha itu merupakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat hospital swasta tersebut bagi mengurangkan risiko kematian bayi yang dibuang.

"Idea penubuhan pusat perlindungan bayi ini ditimbulkan Pengarah Perubatan Hospital Pakar KPJ Ipoh , Datuk Dr. Fadzli Cheach Abdullah berikutan peningkatan kes pembuangan bayi sejak akhir-akhir ini.

"Statistik menunjukkan separuh daripada bayi malang tersebut meninggal dunia. Oleh itu, pusat perlindungan bayi ini dibuka untuk memastikan hak bayi tidak berdosa tersebut untuk terus hidup dapat dipertahankan, bukan menggalakkan gejala pembuangan bayi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran pusat tersebut yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita Perak, Datuk Hamidah Osman di sini semalam.

Ahmad Nasiruddin berkata, pusat itu terletak di lokasi terlindung berhampiran Jabatan Kecemasan Hospital Pakar KPJ Ipoh dan dalam bentuk pintu tingkap.

Katanya, sebaik bayi dimasukkan ke dalam bekas khas di situ, satu isyarat akan berbunyi supaya jururawat bertugas segera mengambil bayi berkenaan.

Katanya, kawasan pusat perlindungan bayi itu juga sengaja tidak dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup (CCTV) demi menjaga privasi individu yang menghantar bayi ke situ.

No comments:

Post a Comment