Translate

Saturday, December 11, 2010

Rumah tergadai kerana hutang RM1,000

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Gara-gara meminjam wang RM1,000 daripada ah long, seorang wanita bukan sahaja terpaksa menanggung beban hutang RM60,000 malah lot rumah kedai milik ibunya juga hampir tergadai.

Tang Yoke Kum, 29, berkata, dia meminjam wang tersebut daripada ah long pada pertengahan tahun lalu selepas berhadapan dengan masalah perniagaan restoran.

"Setelah diluluskan, ah long tersebut menyerahkan wang tunai RM650 dan selepas itu saya mula membayar hutang mengikut jadual tetapi kadar bunganya begitu tinggi dan tidak habis-habis biarpun sudah lebih RM2,000 dijelaskan.

"Apabila saya tidak mampu lagi bayar berikutan restoran yang terpaksa ditutup, ah long terbabit beritahu hutang saya sudah berjumlah RM7,000 pada April lalu," katanya pada sidang akhbar bersama Ketua Urus Setia Pusat Khidmat dan Aduan Barisan Nasional Perak, Mohd. Ravi Abdullah di sini semalam.

Yoke Kum mendakwa, ah long terbabit kemudian berjanji membantunya membuat pembiayaan peribadi di institusi kewangan berlesen bagi menyelesaikan hutangnya.

Dia juga diminta ah long itu supaya menipu pegawai bank terbabit dengan memohon pembiayaan RM60,000 kononnya untuk membuka perniagaan.

“Saya dan ibu juga diminta menandatangani pelbagai dokumen di sebuah pejabat guaman di sini. Sebab terdesak, kami akur dengan saranan ah long itu.

“Rupa-rupanya lot rumah kedai milik ibu di Sungai Siput sudah dicagar atas nama salah seorang ah long tersebut. Saya bukan sahaja tidak dapat duit tetapi hutang juga meningkat kepada RM60,000,” katanya.

Yoke Kum berkata, paling menakutkan apabila dia pernah diserang dua orang ah long dengan parang dan di gugut supaya membayar baki hutangnya di rumahnya di Taman Wang di sini pada pukul 9.30 malam, 11 November lalu.

Ekoran kejadian itu dia yang ketakutan telah mening galkan rumah dan berhenti kerja sebagai tukang masak.

“Saya telah membuat laporan di Balai Polis Menglembu di sini ekoran serangan itu. Sekarang saya bimbang keselamatan diri dan keluarga dan berharap lot rumah kedai milik ibu saya tidak bergadai,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Ravi berkata, sepanjang tahun ini pihaknya telah menerima tiga kes yang hampir sama dengan Yoke Kum apabila ah long terbabit menyasarkan individu yang berhadapan dengan masalah kewangan sebelum memujuk mereka memohon pinjaman dengan institusi kewangan berlesen.

“Aset mangsa yang dicagar dimanipulasi untuk kepentingan ah long. Kami percaya sindiket ah long ini bekerjasama dengan pejabat guaman tertentu untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.


No comments:

Post a Comment