Translate

Tuesday, December 14, 2010

Penumpang dakwa bas dipandu laju

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Bas Institut Kemahiran Mara ( IKM ) Jasin yang terlibat dalam kemalangan di Kilometer (KM) 304.5 Lebuh Raya Utara-Selatan hala selatan dekat Gopeng kelmarin didakwa dipandu laju.

Seorang mangsa, Nur Azmah Harun, 22, berkata, semasa menuruni laluan dari Cameron Highlands melalui Simpang Pulai dekat sini bas itu gagal dikawal.

"Pemandu bas menjerit memengatakan brek gagal berfungsi dan kami yang panik turut menjerit. Bas yang dipandu laju itu kemudian terbabas dan terbalik ke dalam parit besar berhampiran bahu jalan.

"Sejurus kemudian pandangan saya kabur dan sakit di bahagian dada. Saya hanya dapat keluar melalui pintu kecemasan di bahagian belakang bas dengan bantuan rakan-rakan lain," ceritanya ketika ditemui di Wad 2B, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini semalam.

Nur Azmah yang merupakan pelajar tahun akhir Sijil Lukisan Mekanikal IKM Jasin patah tulang rusuk kiri dan dipindahkan ke hospital berkenaan dari Hospital Tapah pada awal pagi semalam.

Beliau memberitahu, mereka dalam perjalanan ke Jasin selepas menghadiri majlis makan tengah hari Jawatankuasa Perwakilan Pelajar (JPP) IKM Jasin di sebuah hotel di Cameron Highlands.

Selain Nur Azmah yang merupakan Bendahari JPP IKM Jasin , turut cedera parah ialah Nur Izrin Abdul Hamid, 22, yang patah tangan kiri dan kini ditempatkan di Hospital Tapah.

Kosmo! semalam melaporkan tiga pelajar IKM Jasin parah apabila bas yang dinaiki terbabas dan terbalik di KM 304.5 Lebuh Raya Utara-Selatan dekat sini.

Kejadian pada pukul 6 petang itu membabitkan bas yang membawa 41 penumpang terdiri daripada pelajar, pensyarah dan anggota keluarga mereka serta lima pemandu.

No comments:

Post a Comment