Translate

Wednesday, December 15, 2010

Enam pendaki sesat ditemui selamat

Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Keriangan 10 pendaki untuk menawan puncak Gunung Chabang yang mempunyai ketinggian 1,219 meter berhampiran Pos Slim, Simpang Pulai dekat sini bertukar mimpi ngeri apabila enam daripada mereka tersesat ke dalam hutan kelmarin.

Enam daripada ahli kumpulan ekspedisi itu termasuk tiga pelajar institusi pengajian tinggi tersasar kira-kira 18 kilometer (km) dari kaki gunung ketika empat lagi sudah berada di puncak pada pukul 11.30 malam.

Bagaimanapun, kesemua mereka berjaya ditemu dalam keadaan selamat oleh pasukan pencari dan penyelamat semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, enam pendaki yang tersesat ialah Yaul Ken Min, 26, Teo Guan Yew, 19, Jea Jie Kong, 36, Michelle Kong, 21, Lin Yen Yin, 33, dan Koh Yin Meng, 25.

"Kumpulan ekspedisi ini dari Kuala Lumpur termasuk Yen Yin warga China mula memasuki Gunung Chabang dari perkampungan Orang Asli, Pos Slim pada kira-kira 6 petang kelmarin.

"Mereka membentuk dua kumpulan dan ketika kumpulan pertama dianggotai Woon Boo Siong, 26, Keoh How Goek, 42, Ng Peak Hin, 34, dan Lee Kooi Zie, 52, sampai di puincak, kumpulan kedua tidak sampai-sampai dan gagal dikesan," katanya di sini semalam.
Azisman berkata, Hoe Geok yang bimbang tentang keselamatan enam rakan mereka telah menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai yang kemudiannya menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat bersama-sama polis dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

Menurut beliau, gerakan mencari dan menyelamat dianggotai 25 orang dimulakan pada pukul 9 pagi semalam dan berjaya menjumpai mangsa di kawasan sungai kira-kira 10 km dari Pos Slim dalam keadaan keletiahan pada pukul 1.27 petang.

"Semua mangsa selamat tanpa sebarang kecederaan kecuali Michelle yang terpaksa dipapah anggota penyelamat kerana mengalami kekejangan otot.

"Dia merupakan mangsa terawal dapat dikeluarkan dari hutan pada pukul 6 petang dan baki sembilan pendaki keluar secara beransur-ansur sehingga pukul 8 malam dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Gunung Chabang yang merupakan sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa terletak di sempadan Perak dan Pahang dan pendaki dalat melihat pemandangan Gopeng, Batu Gajah, sebahagian Ipoh dan Cameron Highlands dari puncak gunung tersebut.

No comments:

Post a Comment