Translate

Wednesday, December 15, 2010

Balasan makan duit haram

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Senario di Mahkamah Sesyen di sini semalam berbeza apabila seorang bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Perak yang sebelum ini bertanggungjawab menghukum pesalah, dijatuhi hukuman penjara 19 tahun dan denda RM210,000 selepas didapati bersalah atas tujuh tuduhan rasuah.

Hassan Basri Shapie, 56, dikenakan hukuman tersebut selepas Hakim Tan Hooi Leng mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan terhadap bukti pihak pendakwaan atas semua pertuduhan yang dilakukan tertuduh sekitar 7 Ogos 2006 hingga 6 September 2007.

Bagaimanapun tertuduh hanya dipenjara 10 tahun setelah Hooi Leng memerintah hukuman empat daripada tujuh pertuduhan tersebut dijalankan serentak. Namun Hassan Basri bakal berhadapan hukuman penjara tambahan sebanyak 42 bulan lagi jika gagal membayar denda.

Dia adalah hakim Mahkamah Syariah pertama yang didapati bersalah dalam pertuduhan rasuah.

Difahamkan, semasa ditahan, Hassan Basri berada pada kedudukan kedua dalam pengurusan Mahkamah Tinggi Syariah Perak di belakang Ketua Hakim Syarie Perak, Abdul Aziz Mohd. Yusof.

Hooi Leng dalam penghakiman bertulisnya memberitahu, hujah pembelaan bahawa wang yang diserah saksi kelapan (Mohamad Imran Abdullah) kepada tertuduh sebagai bayaran menyelesaikan hutang tidak dapat diterima.

"Hujah itu tidak disokong dengan apa-apa bukti sedangkan penglibatan tertuduh dalam kes tersebut telah terbukti sejak awal," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh meminta rasuah RM6,000 daripada Mohamad Imran sebagai dorongan melepaskan seorang pengusaha pusat hiburan, Yoong Hor Kit yang terlibat dengan lima kes jenayah syariah iaitu menggaji pegawai perhubungan pelanggan (GRO) beragama Islam.

Kedua-duanya dilakukan di sebuah restoran di Tambun di sini pada 15 Ogos 2007 dan tempat letak kereta Taman D. R. Seenivasagam di sini pada 6 September 2007.

Bagi kesalahan ketiga dan keempat, dia meminta suapan RM30,000 daripada Hor Kit melalui Mohd. Sharif Abdul Ghani di bangunan Persatuan Menembak Perak di sini pada pukul 8.30 dan 11 malam pada 7 dan 9 Ogos 2006.

Pertuduhan kelima dan keenam, dia sekali lagi meminta dan menerima rasuah RM2,200 daripada Mohamad Imran sebagai dorongan membantu menyelesaikan kes poligami tanpa prosedur di sebuah restoran di Tambun dan di tepi sebuah hotel di Jalan Raja Dr. Nazrin Shah di sini pada 15 dan 17 Ogos Ogos 2007.

Ketujuh pula, dia menerima rasuah RM1,100 daripada Mohamad Imran sebagai dorongan untuk menyelesaikan satu lagi kes poligami tanpa prosedur di tempat letak kereta Taman D.R. Seenivasagam pada 6 September 2007.

Bagi kesalahan meminta rasuah iaitu pertuduhan pertama, ketiga dan kelima, Hassan Basri dituduh mengikut Seksyen 10 (a) (bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 manakala bagi kesalahan menerima rasuah iaitu pertuduhan kedua, keempat, keenam dan ketujuh di tuduh mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Sehubungan itu, bagi pertuduhan pertama dan kedua, Hooi Leng memerintahkan Hassan Basri dihukum penjara enam tahun dan denda RM30,000. Pertuduhan ketiga dan keempat, Hooi Leng memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM150,000. Kesemua hukuman itu dijalankan serentak.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, dia dijatuhi hukuman penjara hukuman penjara dua tahun dan denda RM20,000 oleh Hooi Leng. Sementara itu, bagi pertuduhan ketujuh pula, hakim memerintahkan tertuduh dihukum penjara setahun tahun dan denda RM10,000.

Sebaik sahaja hukuman dijatuhkan, isteri dan seorang anak perempuan Hassan Basri kelihatan menitiskan air mata namun tertuduh yang berada di dalam kandang mahkamah kelihatan tenang dan sempat merayu hakim terlibat agar menegakkan keadilan.

"Saya harap mahkamah dapat melaksanakan keadilan. Semasa kejadian saya tidak pakai tali pinggang jadi macam mana saya boleh selitkan duit di situ. Berkenaan kes poligami pula, itu adalah arahan Ketua Hakim (Abdul Aziz)," dakwanya.

Hooi Leng membenarkan hukuman penjara ditangguhkan sehingga proses rayuan selesai dengan wang jaminan RM35,000 dikenakan namun memerintahkan tertuduh membayar denda RM210,000 semalam.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abdul Razak Musa manakala peguam T. Shan mewakili Hassan Basri.

No comments:

Post a Comment