Translate

Tuesday, November 30, 2010

Usahawan diserang sakit jantung ketika memandu

KUALA LUMPUR - Keasyikan seorang usahawan dari Shah Alam memandu keretanya berakhir dengan tragedi apabila dia mati selepas dipercayai diserang sakit jantung sebelum kenderaannya itu terbabas ke dalam longkang di kawasan Kajang Utama dekat sini kelmarin.

Kejadian pukul 8.30 malam itu berlaku ketika Gan Teck Sin, 41, yang lebih dikenali sebagai Eric memandu kereta jenis Mercedes Benz warna perak miliknya bersendirian.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Selangor, Supritendan Che Husin Omar berkata, sebelum kejadian, kereta yang dipandu mangsa sedang menuruni bukit di kawasan berkenaan.Katanya, kereta mangsa hilang kawalan dan masuk ke lorong bertentangan sebelum terhumban ke dalam longkang sedalam 20 meter.

"Polis percaya ketika kejadian jalan tersebut basah dan licin menyebabkan kenderaan mangsa berpusing-pusing sebelum masuk ke dalam longkang berhampiran," katanya ketika dihubungi semalam. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

Sementara itu, di Padang Besar, Perlis, Mohd. Faizal Saidin, 25, maut apabila motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di Kilometer 14, Jalan Bukit Keteri dalam kejadian pukul 8.20 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Dros berkata, kereta yang dipandu seorang lelaki dari arah Bukit Keteri ke Padang Besar cuba mengelak sebuah bas yang sedang berundur menyebabkan kereta itu hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

Di Ipoh, Perak pula, seorang kelindan treler terbunuh, manakala pemandunya cedera parah apabila kenderaan yang mereka naiki terbabas ke dalam gaung di Kilometer 12 Jalan Cameron Highlands-Simpang Pulai, kelmarin.

Ketua Polis Trafik Daerah Ipoh, DSP Mohd. Rodzi Rejab berkata, mangsa yang terbunuh dalam kejadian pada pukul 11.55 malam tadi, D.Ramarao @ Demudoo berusia 35 tahun dan berasal dari Taman Jati, Jelapang di sini.Mangsa yang cedera parah di kepala dan badan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.

No comments:

Post a Comment