Translate

Tuesday, November 16, 2010

Tikam mati rakan kerana babi hutan


IPOH - Gara-gara tidak berpuas hati dengan pengagihan daging seekor babi hutan yang diburu, dua beradik sanggup menikam rakan mereka sehingga mati di hadapan rumah mangsa di kuarters Ladang Sungai Samak, Hutan Melintang, Teluk Intan kelmarin.

Dalam kejadian pukul 9 malam itu, K. Perumal (gambar), 27, mati dalam perjalanan ke klinik setelah ditikam dengan pisau lipat oleh seorang daripada suspek berkenaan.

Difahamkan kejadian berlaku sebaik sahaja mangsa dan dua suspek yang berusia 24 dan 21 tahun selesai memburu babi hutan di hutan berhampiran ladang berkenaan.

Ketua Polis Daerah Teluk Intan, Asisten Komisioner Goh Kok Liang berkata, kedua-dua rakan mangsa dikatakan tidak berpuas hati dengan pengagihan daging babi hutan berkenaan lalu pergi ke rumah mangsa pada malam berkenaan.

"Kedua-dua suspek naik berang apabila menjumpai sebahagian usus babi hutan di hadapan rumah mangsa.

"Mereka kemudian bersemuka dengan mangsa yang ketika itu sedang berehat di dalam rumah bersama isteri dan dua anak yang masih kecil untuk mendapatkan penjelasan," katanya ketika dihubungi semalam.

Kok Liang berkata, berlaku pertengkaran antara suspek dan Perumal sehingga salah seorang daripada suspek mengeluarkan sebilah pisau lipat lalu menikam leher mangsa.

Menurut beliau, sejurus menikam mangsa, kedua-dua suspek melarikan diri dengan motosikal. Mangsa yang rebah dihantar ke sebuah klinik di Ladang Ulu Bernam oleh isteri dan beberapa jirannya.

"Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia dalam perjalanan ke klinik akibat kehilangan banyak darah. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk dibedah siasat.

"Polis menjumpai sebilah pisau lipat yang mempunyai kesan darah berhampiran tempat kejadian manakala kedua-dua suspek berjaya diberkas polis ketika sedang bersembunyi di Ladang Ulu Bernam pada tengah hari tadi (semalam)," katanya.

Polis akan mendapatkan perintah tahanan reman. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

No comments:

Post a Comment