Translate

Wednesday, November 24, 2010

Kemukakan bukti ternakan kelisa jejaskan sawah padi

IPOH - Kerajaan negeri Perak mahu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengemukakan bukti secara saintifik bahawa kewujudan kawasan ternakan ikan hiasan di kawasan sawah padi Kerian telah menjejaskan tanaman padi di situ.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pertanian negeri, Datuk Ramly Zahari berkata, CAP sewajarnya membuat penyelidikan secara teknikal berhubung kesan projek berkenaan kepada sawah padi sebelum mengemukakan bantahan terhadap kerajaan negeri.

"Kita bukan senang-senang hendak hentikan (projek ternakan), nanti ada pihak marah. Jika mahu (hentikan), kita kena terangkan dan maklumkan dari segi teknikal. Saya harap CAP dapat mengemukakannya," tegas beliau ketika ditemui di sini semalam.

Beliau mengulas laporan Kosmo! semalam mengenai desakan CAP supaya kerajaan negeri Perak serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menghentikan projek ternakan ikan kelisa di kawasan sawah padi Kerian berhampiran Bukit Merah.

Bagaimanapun, Ramly berkata, kerajaan negeri akan terus memantau isu tersebut dan memberi jaminan akan mengambil tindakan sewajarnya jika ia benar-benar memberi kesan negatif kepada pesawah.

"Kita prihatin dengan masalah petani terlibat dan usaha untuk mengehadkan jumlah kawasan terlibat sudah pun dilaksanakan sejak beberapa bulan lalu," katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri menetapkan hanya 182.3 hektar kawasan penanaman padi di daerah Kerian terutaman di sekitar Bukit Merah dijadikan kawasan penternakan ikan kelisa bagi mengelak penerokaan kawasan pertanian bertukar menjadi kolam ternakan secara besar-besaran.

No comments:

Post a Comment