Translate

Sunday, November 28, 2010

Empat ditahan kes curi komponen mesin cip RM2.7 juta

IPOH - Polis menahan empat lelaki bagi membantu kes kecurian komponen mesin pembuat cip elektronik bernilai RM2.7 juta yang hilang semasa proses penghantaran ke sini dari gudang karg Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Ogos lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Abdullah berkata, ke semua suspek warga tempatan berusia antara 30 hingga 56 tahun terbabit ditahan di sekitar bandar raya ini pada Selasa dan Rabu lalu.

“Polis juga berjaya merampas semula kesemua komponen mesin yang dimport dari Amerika Syarikat dan Taiwan itu di sebuah kilang di Kawasan Perindustrian Ringan Silibin di sini,” katanya pada sidang akhbar sempena majlis serah tugas Ketua Polis Perak di sini semalam.

Jawatan Ketua Polis Perak akan dipangku Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Zakaria Yusof sementara Zulkifli yang bakal bertugas sebagai Ketua Polis Kuala Lumpur.

Zulkifli berkata, dalam kejadian itu, seorang wakil syarikat pengangkutan di bandar raya ini yang mendakwa lori yang membawa komponen mesin pembuat cip elektronik terbabit dilarikan pemandu lori ter babit pada Ogos lalu.

Menurut beliau, polis yang membuat siasatan kemudian mendapati pemandu lori terbabit yang turut ditahan telah menggunakan salinan kad pengenalan palsu semasa memohon pekerjaan.

“Salah seorang suspek yang diberkas juga dikehendaki untuk beberapa kes kecurian, penipuan, pecah amanah jenayah, samun dan senjata api di Perak, Selangor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata, semua suspek yang berasal dari bandar raya ini telah direman selama tujuh hari berakhir hari ini dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 407 Kanun Ke seksaan. Mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment