Translate

Wednesday, September 22, 2010

Tradisi perjumpaan setiap tahun

Kecemerlangan MCKK terus diiktiraf apabila Big School dimasyhurkan sebagai Warisan Kebangsaan mengikut Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Pesuruhjaya Warisan, Profesor Emeritus Datuk Zuraina Majid berkata, keputusan untuk mengazetkan Big School bukan sahaja kerana usia dan senibina yang sudah melebihi 100 tahun tetapi peristiwa bersejarah yang berlaku di dalamnya dan sumbangan MCKK yang besar kepada perkembangan negara.

Pada Perang Dunia ke-2, Jepun telah menjadikan bangunan itu sebagai Markas Utama Wilayah Utara sebelum menukarkannya kepada hospital tentera.

"Big School kekal sebagai hospital tentera setelah penjajah British kembali semula ke tanah air pada 1945 namun MCKK kembali berfungsi pada 31 Januari 1947 atas desakan pengasas UMNO, Datuk Onn," katanya.

Mengulas peristiwa tersebut, Tun Haniff Omar berkata, keputusan penjajah British tidak membuka MCKK berkait rapat dengan pembentukan Malayan Union yang mengenetepikan hak istimewa orang Melayu.

Perintis sekolah berasrama

Namun hasil desakan murid tua yang diketuai Onn bukan sahaja memberi 'talian nyawa' kepada MCKK malah telah menjadi perintis kepada dasar membuka luas pintu sekolah itu kepada ramai anak Melayu marhaen lain yang berpotensi.

Onn turut menjadi pemangkin kepada penubuhan sekolah berasrama penuh perempuan pertama negara iaitu Malay Girl School, Kuala Lumpur pada 1947 (kini dikenali sebagai Kolej Tunku Kurshiah dan dipindahkan di Seremban pada 1962).

Seorang lagi murid tua MCKK, Tun Razak telah meneruskan kesinambungan perjuangan Onn memperkasa pendidikan kebangsaan terutamanya bumiputera.

"Semasa menjadi Menteri Pelajaran dari 1955 hingga 1957, beliau telah
menggunakan pengalamannya di MCKK untuk mereka model sama bagi pembukaan membuka enam sekolah berasrama penuh baru di seluruh negara," katanya.

Haniff berkata, kemuncak kejayaan Onn iaitu pemansuhan Malayan Union dan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948 turut dirayakan warga MCKK.

Sebuah sandiwara yang mengandungi sketsa lakonan semula peristiwa yang berlaku di Kediaman Rasmi Pesuruhjaya Tinggi British di King's House, Kuala Lumpur (kini Carcosa Seri Negara) antara dipersembahkan pelajar sekolah terbabit.

Pada akhir persembahan, dua buah lagu ‘Semenanjung Tanah Melayu’ dan ‘Jadilah Kesatria Budiman’ ciptaan Burgess telah dinyanyikan oleh semua hadirin dengan penuh keinsafan.

Dua lagu tersebut telah dinyanyikan semula oleh sekumpulan ahli Persatuan Murid-Murid Tua MCKK (MCOBA) diketuai Rahim Ismail (bekas pelajar MCKK tahun 1955) pada upacara pemasyhuran Big School sebagai Warisan Kebangsaan yang disempurnakan Sultan Azlan pada 26 Jun lalu.

Turut hadir Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola MCKK dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

Selain sokongan padu pihak Istana khususnya Sultan Azlan dan anakandanya, Raja Nazrin, keupayaan MCKK mengekalkan tradisi kecemerlangan banyak di pengaruhi oleh MCOBA.

Sejak ditubuhkan pada tahun 1929, MCOBA yang berpengkalan di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur itu menjadi wadah kepada bekas pelajar terus menabur bakti .

Komitmen MCOBA terhadap MCKK tetap utuh dan kesinambungannya telah diteruskan oleh kepimpinan terkini yang diterajui Tan Sri Megat Najimuddin Megat Khas sejak September 2006.

Antara aktiviti dianjurkan persatuan tersebut ialah Minggu Murid Tua iaitu perjumpaan murid-murid tua dengan guru dan pelajar semasa yang diadakan selama tiga hari pada setiap tahun.

Tradisi pakai tali leher

Kehadiran murid tua pada program tersebut pada setiap tahun boleh menjangkau sehingga 450 orang. Acara wajib bagi setiap pertemuan ialah perlawanan ragbi antara murid tua dan pelajar semasa.

Selain itu, kebanyakan murid tua juga mengekalkan tradisi memakai tali leher sekolah pada setiap Rabu.

Majlis makan tahunan untuk murid-murid tua turut dilangsungkan setiap tahun biasanya di Kuala Lumpur.

Sementara itu Pengetua MCKK, Anand Baharuddin berkata, untuk menjamin kualiti, hanya pelajar lelaki Melayu yang mempunyai kelayakan akademik, ko-kurikulum dan sahsiah cemerlang sahaja terpilih menyertai sekolah berprestasi tinggi tersebut.

Ia meliputi pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bagi pengambilan tingkatan 1 dan bagi tingkatan 4 pula perluminimum 8A dalam Penilaian Sekolah Menengah (PMR).

"Pelajar lelaki Melayu yang tersenarai dalam ranking 120 terbaik bagi UPSR dan 60 bagi PMR pada setiap tahun akan ditawarkan untuk menyertai MCKK.

"Namun kemasukan mereka tidak secara automatik. Ia tertakluk kepada pemohonan sekolah berasrama penuh yang dibuat pelajar terbabit melalui Sektor Sekolah Berasrama Penuh ( Sektor SBP) Kementerian Pelajaran Malaysia," katanya yang memulakan tugas sebagai Pengetua MCKK mulai 2 Julai lalu.

Beliau yang merupakan murid tua MCKK tahun 1975-1979 memberitahu pada masa kini, sekolah tersebut mempunyai 630 orang pelajar, 64 guru dan 33 kakitangan sokongan.

No comments:

Post a Comment