Translate

Friday, September 17, 2010

Tangisan bayi di bawah jambatan


Oleh MOHD. AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

TAPAH – Seorang bayi lelaki dijumpai dalam keadaan kesejukan dan dihurung serangga di bawah sebuah jambatan merentasi Sungai Liar berhampiran Taman Rekreasi Air Panas Sungai Klah, Sungkai dekat sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Supritendan Abdullah Arshad berkata, bayi malang yang dipercayai berusia dua hari itu dijumpai oleh seorang remaja perempuan, Nurul Ain Zakaria, 16, yang terdengar suara tangisan kira-kira pukul 5.40 petang.

Beliau berkata, sebelum itu Nurul Ain sedang menunggu ibu dan adik lelakinya untuk pulang ke rumah di Menderang, Sungkai setelah berkelah di Sungai Tesong tidak jauh dari situ.

“Setelah dicari bunyi suara tangisan itu, remaja dan keluarganya menemui seorang bayi lelaki yang masih bertali pusat tanpa pakaian di bawah jambatan tersebut.

“ Mereka kemudian melaporkan penemuan bayi lelaki tersebut kepada pihak polis. Pemeriksaan turut menemui tompokan darah yang disyaki milik bayi atau ibunya di lokasi terbabit,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini semalam.

Abdullah berkata, bayi lelaki seberat 1.9 kilogram (kg) itu mengalami kecederaan di bahagian telinga kiri, jari tangan kiri dan hidung dipercayai akibat gigitan semut.

Beliau berkata, bayi berkenaan kemudiannya dibawa ke Klinik Kesihatan Sungkai sebelum dirujuk ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Bayi lelaki dipercayai berketurunan Melayu itu disahkan stabil dan kini telah ditempatkan di Wad Kanak-Kanak, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.

“Polis telah menubuhkan pasukan untuk mengesan ibu dan waris bayi terbabit dengan bantuan beberapa hospital dan klinik berdekatan. Sampel darah bayi tersebut telah diambil untuk menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai mempunyai maklumat mengenai penemuan bayi tersebut dipinta menyalurkannya di balai polis terdekat untuk membantu siasatan.

Abdullah berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

No comments:

Post a Comment