Translate

Wednesday, September 22, 2010

Keunikan prasejarah Gua Tambun tidak disedari

IPOH - Jaraknya cuma lapan kilometer dari pusat bandar raya ini namun kewujudan khazanah sejarah berharga di negara ini bagaikan kurang disedari.

Gua Tambun yang terletak berhampiran dengan Kem Syed Putra di sini sebenarnya menyimpan koleksi lukisan purba zaman neolitik yang dianggarkan berusia lebih 5,000 tahun dan dipercayai tertua di negara ini.

Sebanyak lebih 30 bentuk lukisan prasejarah seperti bentuk binatang, manusia, aktiviti perburuan binatang menggunakan lembing dan lakaran geometri dilakar di dinding gua terbabit.

Dipercayai lukisan berkenaan dilukis oleh masyarakat pra-sejarah dengan menggunakan bahan berwarna merah dikenali sebagai haemetite yang mudah didapati di kawasan batu kapur seperti Gua Tambun.

Lukisan berkenaan dijumpai secara tidak sengaja oleh seorang pegawai tentera British, Leftenan R.L. Rawlings pada 1959 ketika sedang membuat rondaan pada zaman darurat.

Namun selepas penemuannya itu, tiada komitmen mana-mana pihak untuk memulihara mahupun mempromosi tarikan khazanah tidak ternilai itu.

Tinjauan Kosmo! mendapati lokasi Gua Tambun agak terpencil dan tersorok dan satu-satunya jalan untuk ke gua pra-sejarah terbabit ialah dengan merentasi sebuah ladang kuda milik sebuah syarikat swasta.

Pengunjung kemudiannya perlu mendaki kira-kira 160 anak tangga yang curam dan sebahagian struktur tangga tersebut belum sempurna pembinaannya.

Sesetengah lukisan pra-sejarah di situ didapati telah terhakis akibat faktor cuaca selain persekitarannya dicemari sampah-sarap dan kegiatan vandalisme.

Seorang penduduk, Mohamad Shahir Kamaruddin, 56, berkata, langkah jitu perlu diambil segera bagi memelihara dan memperkenalkan lukisan pra-sejarah di gua tersebut sebagai satu lagi tarikan pelancongan di bandar raya ini.

Beliau berkata, lokasinya yang hanya terletak kira-kira satu kilometer dari susur keluar Tambun ke Lebuh Raya Utara-Selatan yang dibuka hampir setahun lalu dapat membantu usaha tersebut.

No comments:

Post a Comment