Translate

Friday, September 3, 2010

JPJ menyamar pantau orang ramai balik raya


Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH – Anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak akan menyamar sebagai orang awam untuk merakam gambar kesalahan pengguna jalan raya sempena perayaan Aidilfitri dari 4 September hingga 25 September ini.

Pengarah JPJ Perak, Jaafar Mohamed (gambar) berkata, skuad pemantau itu akan melakukan rondaan di 15 laluan maut yang dikenal pasti di seluruh negeri ini sepanjang tempoh tersebut.

“Anggota penguat kuasa kami menaiki kereta persendirian dengan berpakaian biasa dan masing-masing akan membawa kamera digital bagi merakam kesalahan pengguna di jalan raya.

“Enam kesalahan menjadi keutamaan pemantauan ialah melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, mengekori kenderaan terlalu rapat dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Jaafar berkata, teknik penyamaran tersebut merupakan salah satu daripada enam strategi JPJ Perak untuk mengurangkan kemalangan maut sepanjang Ops Sikap 22.

Beliau berkata, pendekatan lain yang diambil ialah rondaan di laluan maut; pemeriksaan bas ekspres di depot dan terminal; kesalahan lebih muatan; larangan penggunaan kenderaan berat dan operasi bilik kawalan.

"Pada musim Aidilfitri tahun lepas, seramai 30 orang terkorban akibat kemalangan jalan raya di seluruh Perak.

"Sehubungan itu,JPJ Perak menyasar untuk memastikan korban jalan raya pada musim perayaan kali ini tidak akan lebih 30 orang, jika tidak kami dianggap gagal," katanya.

Dalam perkembangan sama, Jaafar memberitahu, semua laluan maut yang dikenal pasti di Perak merupakan jalan Persekutuan dan jalan bandaran iaitu Jalan Ipoh-Lumut; Jalan Ipoh-Teluk Intan; Jalan Ipoh-Kuala Kangsar; Jalan Ipoh-Butterworth dan Jalan Taiping-Pantai Remis.

Turut terlibat ialah Jalan Teluk Intan-Sitiawan; Jalan Teluk Intan-Bidor; Jalan Teluk Intan-Sabak Bernam; Jalan Sitiawan-Ipoh, Jalan Sri Manjung-Lekir, Jalan Lumut-Sitiawan; Jalan Ipoh-Gerik; Jalan Ipoh-Tanjung Malim dan Jalan Gerik-Jeli.

No comments:

Post a Comment