Translate

Thursday, September 16, 2010

3 gadis hilang berada di Teluk Intan

Oleh MOHD.AZLI ADLAN
azli.adlan@kosmo.com.my

IPOH - Pasangan kembar, Nurulain Kamarazmi dan Nurulashiqin serta kawan mereka, Suhaili Abdul Razak yang menghilangkan diri sejak hari raya kedua lalu berada dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supritendan Aziz Salleh berkata, ketiga-tiga gadis berusia 14 tahun itu dipercayai berada di Teluk Intan iaitu kira-kira 60 kilometer dari rumah mereka.

"Siasatan awal mendapati Nurulain, Nurulashiqin dan Suhaili telah bermalam di sebuah rumah kawan lelaki di Parit pada Sabtu lalu.

"Bagaimanapun, usaha polis untuk menjejaki ketiga-tiga gadis itu gagal apabila mereka telah bertolak di Teluk Intan dengan menaiki bas pada Ahad lalu," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! semalam melaporkan tiga pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Kampar termasuk pasangan kembar tidak pulang ke rumah selepas keluar ke pekan Kampar pada hari raya kedua lalu.

Ekoran itu, keluarga Suhaili dan Nurulain serta kembarnya, Nurulashiqin telah membuat laporan polis di Balai Polis Kampar.

Dalam pada itu, Aziz memberitahu polis menolak kemungkinan Nurulain, Nurulashiqin dan Suhaili diculik namun punca mereka tidak pulang ke rumah masih belum diketahui.

Sementara itu, ibu pasangan kembar terbabit, Harlizah Samah, 42, memberitahu, Nurulain telah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengatakan mereka dalam keadaan selamat kira-kira 10 malam kelmarin.

"Namun apabila kami cuba menghubungi telefon bimbitnya, panggilan kami tidak dijawab," katanya.

Harlizah berkata, biarpun lega kedua-dua anak kembarnya dan Suhaili selamat tapi dia berharap mereka pulang ke rumah dengan segera.

No comments:

Post a Comment